PENAMPILAN pelakon Apa Celop Toqq, Taiyuddin Bakar menerusi watak Tok Perak di pementasan Yeop: Tribut Syed Alwi yang dipentaskan di KLPAC baru-baru ini mencuri perhatian ramai.
Apatah lagi pelakon yang cukup terkenal dengan watak-watak komedi itu sebelum ini dilihat menyepikan diri seketika daripada dunia seni setelah melakukan penghijrahan untuk mendalami agama dan banyak terlibat dengan aktiviti dakwah.
Justeru kemunculan Taiyudin atau lebih mesra disapa sebagai Tai selepas tiga tahun tidak terlibat dengan aktiviti seni ternyata mengubat rindu para peminatnya selama ini.
"Saya tak pernah berhenti dari dunia seni. Cuma ada ketika kena dahulukan apa yang patut didulukan.
"Penglibatan saya dalam pementasan ini tentunya kerana ia merupakan naskhah tribut kepada Seniman Negara Syed Alwi yang telah banyak berjaya kepada dunia pementasan tanah air.
"Bangga kerana dapat beraksi bersama rakan-rakan dalam usaha untuk memberi apresiasi kepada tokoh ini.
"Memang lama saya tak beraksi, kalau tak silap kali terakhir saya berlakon pentas adalah tiga tahun lalu, sebelum terlibat dengan filem arahan Namron Master Picisan November lalu,” kata Tai.
Meskipun lama tidak berlakon, aksi Tai menerusi watak Tok Perak sangat menghiburkan malah langsung tidak kelihatan kekok di pentas. Ramai yang terhibur dan mengharapkan pemenang Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-24 ini kembali aktif berlakon.