PELABUHAN KLANG - Kegiatan nelayan asing yang menceroboh masuk perairan negara untuk menangkap ikan menyebabkan Malaysia kerugian berbilion-bilion ringgit setiap setahun.
Nelayan asing terutamanya dari Indonesia, Myanmar dan Vietnam merompak hasil laut negara sama ada dengan menceroboh masuk ke perairan Malaysia atau bagi mengaburi mata pihak berkuasa, mereka menggunakan lesen bot tempatan.
Malah, kegiatan mereka bertambah aktif apabila ada nelayan Malaysia yang tidak mahu turun ke laut menggaji pula nelayan asing itu untuk menangkap ikan.
Tinjauan wartawan Sinar Siasat baru-baru ini yang turut sama melayari Selat Melaka selama lima hari bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mendapati kegiatan pemilik lesen bot tempatan tetapi menggunakan tekong dan awak-awak warga asing adalah antara kes yang paling banyak ditemui.
Dalam operasi selama lima hari menggunakan kapal KM Bagan Datuk itu, anggota APMM telah memeriksa 14 bot nelayan dengan tiga daripada bot tempatan itu telah ditahan kerana nelayannya ialah warga asing.
Selain itu, penguatkuasa APMM turut mengesan sebuah bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara.
Pada hari pertama operasi, Pegawai Memerintah Leftenan Komander Abdul Hakim Mohd Idris telah mengesan dan mengusir sebuah bot nelayan dipercayai warga Indonesia yang licik.
Bot itu dikesan pada kedudukan kira-kira 23 batu nautika dari Pulau Ketam.
Sejurus menyedari kehadiran kapal KM Bagan Datuk, tekong terus memecut bot hingga berjaya bolos ke perairan Indonesia bagi mengelak ditahan.
Sementara itu, pada hari kedua operasi, kapal KM Bagan Datuk mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda lebih kurang 11.8 batu nautika dari Tanjung Sauh, Selangor sekitar jam 5 petang.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan ke atas bot tersebut mendapati seorang tekong bersama tiga awak-awak tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warga Myanmar.
Selang sejam, sekali lagi KM Bagan Datuk mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang sedang menangkap ikan menggunakan pukat tunda di lokasi sama.
Seperti bot pertama pemeriksaan juga mendapati seorang tekong bersama tiga awak-awak dipercayai warga Myanmar.
Esoknya, kapal operasi berkenaan berjaya mengesan sebuah lagi bot nelayan tempatan, kira-kira 6.1 batu nautika dari Tanjung Rhu, Selangor.
Penggeledahan ke atas bot tersebut mendapati seorang tekong bersama seorang awak-awak berusia 38 tahun dan 20 tahun memiliki pasport Indonesia dan mereka menggunakan pukat hanyut.
Dalam pada itu, berdasarkan statistik APMM, sepanjang tahun 2015 sehingga 2019, pihaknya telah menahan 634 buah bot nelayan tempatan yang melakukan pelbagai kesalahan termasuk menyalahgunakan lesen perikanan kepada nelayan asing.
Selain itu, statistik juga mendapati kes bot nelayan asing yang menceroboh ke perairan negara saban tahun meningkat.
Pada tahun 2015, APMM menahan 107 bot diikuti 108 (2016), 148 (2017), 110 (2018) dan 151 tahun 2019 dengan jumlah keseluruhan 624 kes.