TERENGGANU optimis kekal bersaing dalam Liga Sepak Takraw (STL) Liga Premier musim depan walaupun masih gagal keluar daripada zon penyingkiran selepas berakhirnya saingan minggu keenam di Gem In Mall, Cyberjaya.
Pengendalinya, Mohd Futra Abdul Ghani tetap positif anak-anak buahnya mampu bangkit dalam baki lima perlawanan yang bakal mereka harungi menjelang minggu ketujuh dan kelapan di Ipoh, Perak nanti.
"Saya masih menaruh keyakinan kepada pasukan dan juga pemain-pemain yang ada memandangkan mereka sememangnya mahu melakukan yang terbaik dalam saingan pada kali ini. Cuma mungkin tuah belum memihak kepada kami.
"Jadi saya harap kemenangan dengan Johor Tigris pada Jumaat lalu memberi suntikan semangat kepada para pemain untuk mengharungi baki lima perlawanan akan datang walaupun kita tewas kepada Penang Black Panthers semalam (kelmarin).
"Tidak mustahil sebenarnya untuk kita menang dalam sepak takraw ini, cuma pemain-pemain Terengganu Turtles perlu bersikap positif dan kekal fokus untuk memenangi setiap perlawanan yang diharungi nanti," katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas kelemahan pasukan sepanjang saingan STL 2019 berlangsung, bekas 'perejam emas' skuad negara pada Sukan SEA 2005 itu mengakui posisi apit kiri masih gagal membantu Phutawan Sopa dan Nor Azman Abdul Hamid dalam mengutip mata.
Menurutnya lagi, perancangan Terengganu Turtles juga terbantut setelah mereka kehilangan khidmat Safaruddin Abu Bakar yang disenaraikan sebelum ini, sekali gus merencatkan sedikit strategi pasukan.
"Kita sebenarnya sudah cuba mencari formula dan pemain terbaik untuk membantu Nor Azman dan Phutawan, namun kita akur dengan senarai barisan pemain yang kita ada.
"Apapun saya memuji permainan Hasmadi Wahab yang semakin meningkat walaupun masih ada sedikit kesilapan-kesilapan yang berlaku. Mungkin pada minggu ketujuh nanti, kita akan menurunkan pemain muda, Afif Jazimin Zainal Abidin untuk memperbaiki kesilapan ketara di posisi apit kiri," jelasnya.