Bimbang rumah retak, banjir kilat

Iklan
Penduduk risau dengan keadaan mendap pada jalan dan keretakan beberapa rumah di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS) Jalan Tun Razak.

KUALA LUMPUR -"Sekarang musim hujan, kami memang benar-benar risau.” Itu antara luahan penduduk di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Tun Razak di sini yang terpaksa berdepan dengan masalah banjir kilat dan keretakan di tingkat bawah flat berkenaan.

Penduduk, Hazarina Zaini, 45, berkata, masalah keretakan itu mula ketara ketika berlaku banjir kilat pada 18 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

"Kalau diikutkan dua kali kawasan ini mengalami banjir kilat. Kali pertama pada 1 Oktober dan kedua pada 18 Oktober, masa kali kedua jalan di antara sebuah blok di sini mendap.

"Ruang tamu rumah saya juga retak pada bahagian bawah siling dan dinding, agak menakutkan kerana ia makin membesar,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan
Penduduk menunjukkan keadaan jalan yang mendap di Flat PKNS Jalan Tun Razak semalam.

Seorang lagi penduduk, Azamhadhir Hashim, 39, berkata, dia mengetahui masalah keretakan itu setelah diberitahu jirannya.

"Masa banjir kilat 18 Oktober lalu, saya dan keluarga pergi ke pusat pemindahan dan selepas banjir surut baru saya sedar rumah saya juga retak.

Iklan

"Bahagian lantai nampak macam sedikit mendap,” katanya.

Dalam pada itu, Nuraziah Abdul Manan, 55, berkata, setiap kali hujan dia sememangnya risau sekiranya kawasan ini dilanda banjir kilat lagi.

"Kalau hujan saya memang risau, takut banjir lagi. Saya juga takut dinding yang retak ini makin besar.

"Saya berharap pihak berwajib dapat ambil tindakan secepat mungkin bagi mengatasi perkara ini,” katanya.

Pada 18 Oktober lalu, beberapa keluarga di flat berkenaan diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Jalan Hamzah, Kuala Lumpur selepas berlaku tanah mendap di rumah mereka di sini.