GUA MUSANG - Hanya sempat beraksi lima minit dalam perlawanan futsal, seorang lelaki meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas.
Mohd Khairi Harun, 31, dari Kampung Lembaga di sini menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10 malam tadi ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang (HGM).
Menurut abangnya, Zamzani Harun, kali terakhir dia berjumpa adiknya itu semalam, ketika arwah bersama isteri dan dua anak mengunjungi rumahnya.
"Dia (arwah) tiada sebarang masalah kesihatan dan turut memberitahu saya mengenai perlawanan futsal itu kerana dia menguruskan perlawanan berkenaan yang disertai rakan-rakan sekolahnya dahulu di bawah program 'Gelora 88'.
"Tiada sebarang tanda-tanda atau perubahan menunjukkan dia sakit. Ketika perlawanan itu berlangsung di Gelanggang Futsal Padang Golf, Gua Musang, dia hanya bermain lima minit.
"Rakannya memberitahu, dia tersandar di tepi gelanggang dan sesak nafas lalu terus dibawa ke hospital," katanya.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru, Taman Kesedar Putra, pada jam 11 pagi hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan sepasang cahaya mata berusia 3 dan 4 tahun.
Selain berniaga nasi kerabu dan ayam golek, Allahyarham juga turut menggalas jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda UMNO Gua Musang dan Exco Majlis Belia Jajahan (MBJ) Gua Musang.