Enam warga Kemboja ditahan ceroboh hutan simpan

Iklan
Enam warga Kemboja yang ditangkap bersama barangan yang dirampas dalam operasi OBK Siri 3/2019 Zon Timur dijalankan Perhilitan bersama PGA Briged Utara dan NGO Rimba. - Foto ihsan KATS

SHAH ALAM - Enam warganegara Kemboja ditangkap di kawasan Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu, Terengganu pada 19 Oktober lalu kerana disyaki menceroboh kawasan terbabit serta melakukan jenayah melibatkan hidupan liar.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS), Dr Xavier Jayakumar berkata, tangkapan itu dilakukan hasil serbuan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 3/2019 Zon Timur yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dan kakitangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rimba yang turut sama membantu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas enam suspek itu menemui satu unit disyaki cangkerang kura-kura, satu unit rantai disyaki taring babi hutan, satu unit rantai disyaki tanduk hidupan liar, satu unit disyaki gading gajah dan empat unit disyaki bulu kuang raya.

"Turut dirampas beberapa peralatan mengambil gaharu seperti enam unit kapak, enam unit parang bersarung, dua unit penggali, tujuh set alat pencuci gaharu dan satu unit bungkusan berisi kayu gaharu.

Iklan

"Kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 68, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Xavier berkata, mereka yang ditahan juga akan disiasat di bawah Seksyen 60, Akta 716 iaitu menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi dan jika sabit kesalahan, hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Bagi kes pemilikan kayu gaharu pula, kes disiasat di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan1993).

Markas operasi enam warga Kemboja dipercayai untuk melakukan kegiatan haram mereka. - Foto ihsan KATS

Beliau berkata, tangkapan kali ini merupakan kejayaan keenam operasi OBK, selepas kejayaan terdahulu iaitu penahanan dua warga Thailand pada 10 September lalu di Taman Negeri Royal Belum, Perak; seorang warga tempatan pada 10 Oktober lalu di Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang dan dua warga Thailand pada 11 Oktober lalu di Gerik, Perak.

"Sebelum itu, kita juga menahan 29 pesalah terdiri daripada seorang warga tempatan, enam warga Bangladesh, dua warga Indonesia, enam warga Myanmar dan 14 warga China pada 11 Oktober lalu di Felcra Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang serta seorang warga Kemboja pada 16 Oktober lepas di Taman Negara Endau Rompin, Johor.

"Kesemua OBK yang dilancarkan bertujuan membanteras segala bentuk aktiviti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan lain-lain pelanggaran di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan lain-lain akta yang berkaitan," katanya.

Xavier berkata, KATS memberi amaran kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar dan aktiviti pencerobohan agar menghentikan aktiviti terbabit atau bakal berdepan dengan tindakan undang-undang yang tegas.

Katanya, pihaknya berharap orang ramai akan terus memberikan sokongan dan bantuan dengan menjadi mata serta telinga Jabatan Perhilitan dan polis bagi membantu program OBK itu.

Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Perhilitan Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.