PELIK tapi benar. Seorang mangsa kemalangan terkejut apabila melihat dirinya pada gambar kemalangan yang dirakam 'sendiri' menerusi telefon bimbitnya, awal sejam sebelum kejadian itu berlaku.
Faizah Mohd Noh, 31, mendedahkan kemalangan itu berlaku pada 11 Oktober jam 7.30 pagi ketika dia memandu sendirian Perodua Axia di Taman Wira Mergong, Kota Setar, Kedah di sini.
"Pada awalnya saya memang terkejut dan naik seram dibuatnya selepas mendapat tahu mengenai perkara itu.
"Saya memang ada rakam gambar selepas kemalangan itu sebagai bukti sebelum membuat laporan polis tetapi hanya dua gambar.
Lebih menghairankan, gambar itu merekodkan jam 6.26 pagi sejam lebih awal dari kemalangan itu berlaku iaitu jam 7.30 pagi.
"Bukan itu sahaja, gambar saya berdiri berada di luar kereta turut kelihatan. Setahu saya, memang saya tidak berikan telefon ini kepada sesiapa pun waktu kemalangan dan ia sungguh pelik.
"Kejadian ini sangat misteri. Waktu itu, saya sendiri hubungi 999, hubungi kawan-kawan, telefon memang ada di tangan saya," katanya.
Menurutnya, dia melihat perincian waktu gambar itu dirakam dan semuanya awal sejam daripada waktu kejadian.
"Paling misteri, dalam satu gambar tu, ada saya sendiri di dalamnya," jelasnya.
Bercerita lebih lanjut, katanya, ketika kejadian dia hendak pergi bekerja dari rumahnya di Langgar menuju ke Kangar, Perlis.
"Saya bekerja di Kangar tetapi menetap di Kedah. Jadi, setiap hari berulang-alik dari Langgar ke Kangar.
"Selalunya, Isnin hingga Khamis saya guna jalan sungai Korok, cuma setiap Jumaat saya akan lalu jalan tersebut sebab Kedah cuti, jadi jalan akan lengang.
"Lokasi kejadian itu di lampu isyarat Insaniah Taman Wira, Mergong," katanya.
Semasa tiba di lampu isyarat itu, Faizah meneruskan pemanduan kerana lampu hijau namun secara tiba-tiba ada sebuah kereta arah bertentangan dari arah Sahab Perdana membelok ke laluannya.
"Jadi saya tidak sempat brek dan berlaku perlanggaran di situ. Akibat perlanggaran itu, kereta saya berpusing 180 darjah.
"Lepas tu, saya diminta keluar daripada kereta sebab pintu sebelah saya tidak boleh dibuka lagi, jadi saya keluar ikut pintu penumpang dan ambil telefon serta beg tangan," katanya.
Tambahnya, susulan kejadian itu dia sehingga kini masih tiada jawapan berhubung gambar insiden itu.