CAMERON HIGHLANDS - Isu pencerobohan tanah kerajaan negeri dan hutan simpan di penempatan Orang Asli Pos Terisu, di sini yang kembali berulang, mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri dalam siri lawatan kerja seharinya hari ini.
Dalam lawatan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands khususnya senario penerokaan tanah tanpa kawalan dan pembinaan struktur haram di tanah dan sungai rizab.
Beliau diberi taklimat mengenai kawasan-kawasan yang diceroboh secara haram, cerun risiko dan tapak penerokaan semula serta pencerobohan rizab sungai oleh Pengarah Perhutanan negeri Pahang Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Penolong Pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands Yamin Hafiz.
Taklimat tersebut antara lain memberi penerangan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan mengundang risiko tinggi berlakunya tanah runtuh yang telah dilakukan oleh pihak luar lebih lima tahun lepas di kawasan 64.7 hektar tanah rizab penempatan Orang Asli di Pos Terisu.
Dalam tinjauan di kawasan itu, didapati terdapat dua kawasan bukit yang telah dimajukan untuk tujuan pertanian hingga sebahagiannya menampakkan hakisan tanah di lereng-lereng bukit.
Terdahulu rombongan Timbalan Perdana Menteri itu mengambil masa 45 minit perjalanan dari Tanah Rata untuk ke lokasi berkenaan yang perlu melalui laluan berlereng.
Selepas melihat kesan pencerobohan tanah, Wan Azizah kemudiannya menghadiri ‘Luncheon Talk’ bersama enam persatuan pekebun Cameron Highlands sebelum mengakhiri sesi lawatan kerjanya dengan beramah mesra bersama penduduk Orang Asli Sg Ruil di sini.
Sementara itu, Yamin ketika ditemui kemudiannya berkata isu pencerobohan tanah dan hutan milik kerajaan telah berkurangan menerusi Ops Gading yang dilakukan sejak lima tahun lepas.
Namun katanya, isu tersebut kembali berulang terutama di kawasan itu dan tindakan segera telah dilakukan agar ia tidak berleluasa. - Bernama