TEMERLOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan masakan rakan serumah, seorang pekerja ladang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini setelah disabitkan bersalah membunuh rakannya itu dua tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman tersebut selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan terbabit.
Tertuduh, Mohamad Rosli Naqur Ghani, 37, yang berasal dari Perak memakai baju lokap ungu kelihatan bersahaja ketika mendengar keputusan tersebut.
Tertuduh didakwa membunuh R Devadas, 60, antara jam 1.50 hingga 11.20 pagi pada 17 April di rumah tidak bernombor di Estet Chuan Leng Rubber Estate, Belenggu Halt Mentakab.
Kejadian dikatakan berlaku apabila tertuduh tidak berpuas hati dengan masakan yang disediakan mangsa.
Dengan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How manakala tertuduh diwakili peguam Aedi Tajuddin.
Seramai 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan berlangsung.
Dalam rayuan tertuduh, Aedi menyatakan tertuduh memiliki empat orang anak yang tinggal di Ipoh, Perak.
"Tertuduh baru bekerja di ladang itu tiga minggu sebelum kejadian dengan pendapatan RM30 sehari.
"Tertuduh sudah menyesal dengan tindakannya dan memohon mangsa maaf kepada keluarga mangsa," katanya.
Sementara itu, Chin How meminta agar mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat dan menegaskan ia satu perbuatan tidak boleh dimaafkan.
Menurutnya, tertuduh bertindak memukul mangsa menggunakan bongkah kayu dan sabit sebanyak dua kali iaitu pada waktu petang dan malam.
"Ia menyebabkan tulang rusuk mangsa patah dan mengalami pendarahan dalaman. Jadi saya memohon hukuman berat dikenakan," katanya.