SHAH ALAM - "Saya tunggu awak suami... Kami rindu awak," luahan hiba seorang isteri, Afiqah Baharuddin, 22, apabila mengenangkan nasib suaminya ditahan polis Thailand.
Menerusi entri Instagramnya (IG), dia meluahkan isi hatinya berkaitan suaminya, Amirul Adib, 22, ditahan gara-gara memiliki alat komunikasi 'walkie-talkie'.
Katanya, Adib pertama kali menjadi pemandu pelancong juga kali pertama keluar dari negara ini.
Tarikh 14 Disember lalu, Adib membawa pelancong dari Perak melepasi sempadan Thailand di Sadao dan saat itu hidupnya berubah 360 darjah apabila ditahan ketika sekatan polis.
Adib menyangkakan membawa walkie-talkie adalah satu kesalahan ringan tetapi ia adalah kesalahan berat buat negara itu.
"Adib ingat kes ini kecil boleh selesai. Rupanya kes ini berat. Lagi berat dari bawa pistol.
"Dia dimasukkan ke penjara pada 15 Disember sehingga kini. Kami nak jamin tidak mampu kerana dendanya berjumlah 400, 000 Bath (RM51,000). Harga tinggi kerana Adib bukan warganegara Thailand," katanya kepada Sinar Harian.
Selain kesalahan membawa walkie-talkie, Adib juga disaman atas kesalahan pas pelancong dan permit kenderaan.
Kata Afiqah, dia turut berterima kasih kepada pemilik syarikat itu kerana sudi membayar setengah dari wang denda.
"Ketua Adib ada beri duit tapi tak banyak hanya setengah sahaja tak sampai separuh. Mereka pun tak mampu nak bayar kerana baru membuka perniagaan dua tahun lalu.
"Jadi sekarang ini kami sudah ada separuh dari RM51,000 dan kini mahu mencari separuh lagi bagi menampung jumlah denda itu," katanya dikurniakan seorang anak berusia dua tahun.
Dalam keadaan buntu, Afiqah meminta jasa baik rakyat Malaysia untuk membantunya dari segi kewangan meskipun hanya RM1 bagi membebaskan suaminya.
"Saya buntu, macam mana dia di sana?, boleh hidup ke? tidur bagaimana... Semua tahu Adib tidak salah tetapi mungkin ini dugaan kami dan pasti ada hikmahnya," katanya turut menggunakan tanda pagar #prayforamiruladib
Segala bantuan boleh hubungi 019-398 7679 atau Instagram miliknya.