KANGAR - Polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah dikenali Geng Utara Timur di Terminal Bas Sentral Butterworth pada 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kumpulan terbabit yang dianggotai empat lelaki bersaudara berasal dari Kelantan dan Pulau Pinang menyasarkan premis kedai dan rumah awam di sekitar Pulau Pinang dan Perlis.
Menurutnya, kumpulan ini diketuai oleh seorang lelaki berusia 22 tahun berasal dari Kelantan yang menetap di negeri asalnya dan akan bergerak menaiki bas ke Pulau Pinang jika saudaranya sudah mempunyai lokasi sasaran.
"Malah mereka juga sempat memecah masuk dua buah rumah di Kangar dan melarikan barangan kemas serta wang tunai berjumlah RM20,000 pada awal bulan ini.
Tambah Surina, hasil pemeriksaan rekod lampau mendapati kesemua suspek yang berusia antara 22 hingga 40 tahun itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau yang membabitkan dadah.
"Kesemua mereka kini dalam tahanan reman pihak polis di Pulau Pinang dan dijangka akan dituduh dalam masa terdekat ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan jenayah pecah rumah," katanya.
Sementara itu, Surina turut mendedahkan 30 identiti suspek yang dikehendaki polis Perlis bagi membantu siasatan kes merogol kanak-kanak, pecah rumah, dera dan bunuh membabitkan kes jenayah pada 2001 hingga terkini.