BEIRUT - Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri meluluskan senarai pembaharuan ekonomi di tengah-tengah protes antikerajaan yang masuk hari kelima dan semakin meningkat di negara itu.
Pengumuman itu dibuat selepas sesi mesyuarat Kabinet tergempar di Istana Presiden semalam.
Menurutnya, pakej pembaharuan itu termasuk memotong 50 peratus gaji kesemua bekas dan ahli Parlimen serta meluluskan undang-undang untuk mengembalikan semula dana awam yang dicuri.
Pelan tindakan ekonomi beliau termasuk menswastakan syarikat mudah alih dan menghapuskan badan kerajaan tertentu.
Difahamkan, pakej tersebut bagaimanapun tidak termasuk langkah mengenakan cukai atau bayaran baharu ke atas rakyat.
Beliau turut mengumumkan kelulusan draf bajet kerajaan 2020 dengan memperoleh sumbangan AS$3.3 bilion (RM13.8 bilion) daripada bank untuk mencapai defisit 0.6 peratus.
Ketika mesyuarat tergempar itu, Presiden Michel Aoun memaklumkan protes mega itu jelas mencerminkan penderitaan terpaksa ditanggung rakyat, namun beliau menegaskan adalah tidak wajar untuk menuduh seluruh anggota dalam kerajaan terlibat korupsi.
Pengumuman pakej pembaharuan ekonomi bertujuan untuk meredakan ketegangan di negara itu turut menerima pelbagai reaksi rakyat malah ada yang masih tidak berpuas hati dengan usaha dibuat kerajaan itu.
Sejak minggu lalu, protes antikerajaan telah melanda seluruh negara selepas pegawai kerajaan mengumumkan rancangan untuk mengenakan bayaran cukai lebih tinggi bagi meningkatkan pendapatan negara.
Ketika ini, Beirut berdepan hutang awam berjumlah AS$86 bilion (RM359 bilion) manakala data Bank Dunia menunjukkan lebih satu pertiga daripada populasi penduduk di negara itu hidup di bawah garis kemiskinan. - Agensi