Perodua Aruz dibuka untuk tempahan RM72,200

Iklan
Perodua Aruz

PENGELUAR kereta nasional, Perodua telah membuka tempahan untuk model terbaharunya, Aruz, dengan anggaran harga atas jalan sebelum insurans antara RM72,200 dan RM77,200.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata kenderaan utiliti sukan dengan tujuh tempat duduk dalam tiga baris (SUV) itu, akan melengkapkan barisan produk Perodua dan dijangka menjana jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit menjelang hujung 2019.

Iklan
Iklan

"Perodua Aruz merupakan model transformasi keempat kami yang menetapkan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan, yang mana telah diperakui dengan penarafan keselamatan lima bintang oleh Asean NCAP.

"Dengan kualiti serta ciri-ciri berkenaan, Perodua Aruz adalah SUV yang memiliki nilai terbaik di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Aruz didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer, yang mana datang dahulu.

Zainal Abidin berkata Aruz ditawarkan dalam dua varian, 1.5 X dan 1.5 Advance, ia tersedia dalam lima pilihan warna iaitu Ivory White, Glittering Silver, Electric Blue, Granite Grey and Amazon Green yang baharu.

Iklan

SUV yang dibina di Sendayan, Negeri Sembilan itu, digerakkan oleh enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i serta transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT).

"Ia digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) yang mampu memberikan kecekapan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu sehingga 15.6 km/l, membolehkan kerajaan memperakui model itu sebagai sebuah kenderaan cekap tenaga (EEV)," katanya.

Ciri-ciri lain, termasuk kawalan kestabilan kenderaan (VSC), Bantuan Mula Daki (HSA), piawaian antarabangsa bagi kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan penumpang (ISOFIX) dan enam beg udara, kesemuanya standard dalam kedua-dua variasi.

Katanya lagi, semua variasi dipasang dengan radio skrin sentuh serta paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori, corong penyaman udara untuk penumpang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.- Bernama