RANTAU PANJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas pelbagai barangan kawalan yang cuba diseludup keluar dari negeri ini ke negara jiran, Thailand yang mencecah hampir RM1 juta.
Pengarahnya, Adnan Abd Rahman berkata, kejayaan itu hasil operasi yang digerakkan sejak 1 Januari lalu sehingga hari ini merangkumi 179 kes di seluruh negeri.
"Kejayaan operasi ini turut dibantu oleh hubungan erat KPDNHEP Kelantan dengan agensi penguatkuasaan di sempadan seperti Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 (SHMMP DV 2019) di Pasaraya Pantai Timor, Lubok Jong, di sini hari ini.
Menurutnya, kerjasama erat antara agensi kawalan sempadan itu telah memberi impak positif dalam membanteras kegiatan penyeludupan.
Katanya, antara barangan kawalan yang dirampas sepanjang tempoh itu ialah gula, minyak masak, tepung gandum dan petrol.
Adnan berkata, rampasan barang kawalan yang paling tinggi dicatatkan minyak masak membabitkan 48 kes diikuti dengan rampasan petrol sebanyak 29 kes.
Katanya, sebanyak RM664,318.82 adalah hasil kejayaan tangkapan yang dilakukan oleh anggota KPDNHEP Kelantan, manakala RM316,432.20 adalah serahan daripada agensi penguat kuasa lain.
"Pihak kami tidak mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan, namun berkongsi info dan maklumat dengan pihak penguat kuasa lain yang berhak untuk mengambil tindakan," katanya.
Adnan berkata, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi dan lawatan ke premis dan kedai yang menjual barangan kawalan terutama di sempadan serta berkongsi maklumat hasil risikan bersama agensi lain.
Dalam perkembangan lain, beliau turut berkongsi pelaksanaan SHMMP DV 2019 sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan Deepavali berkuat kuasa pada 20 Oktober sehingga 2 November 2019 melibatkan 19 barangan seperti ayam, daging, telur, kacang bendi, tomato, kelapa dan cili kering.
"Tindakan tegas diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini dan akan disiasat mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.