KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menafikan beliau ada melantik seorang transgender menjadi pembantu peribadi atau setiausahanya.
Beliau yang ditemui di lobi Parlimen hari ini berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung penularan satu video semalam memaparkan beliau mengadakan pertemuan dengan seorang wanita dikenali sebagai ‘Cleopatra’.
"Ada fitnah berkata dia PA (pembantu peribadi) atau sekretari (setiausaha) saya, itu jelas fitnah. Kalau nak check (periksa) boleh tanya pegawai tertinggi KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
"Kalau tengok portal kementerian, itu pun tahu tak betul,” katanya.
Baru-baru ini tular satu video berdurasi 1 minit seorang wanita yang dipercayai menggunakan nama Instagram Cleopatra_x3 mengadakan pertemuan dan mesyuarat di pejabat Syed Saddiq.
Berdasarkan Instagram wanita terbabit mesyuarat tersebut dipercayai diadakan pada 15 Oktober lalu dan wanita cantik tersebut didakwa netizen seorang transgender yang bekerja dengan Syed Saddiq.
Dalam pada itu menjawab dakwaan sesetengah pihak mengatakan Cleopatra merupakan seorang transgender, Ahli Parlimen Muar itu menegaskan maklumat itu tidak benar.
"Saya juga dimaklumkan ‘berita’ berkenaan kemudian ditukar dan mendakwa wanita tersebut adalah transgender sehingga ada menggunakan perkataan pondan.
"Lepas itu saya terus semak dan dia datang secara berkumpulan. Saya dimaklumkan bahawa dia ada anak dua orang, anak kandung,” katanya.
Tegas beliau, dalam dunia politik, fitnah dan gosip berpisah tiada.
"Setiap hari memang saya jumpa ramai orang dan dia (Cleopatra) datang dengan satu kumpulan.
"Tak tahu kenapa orang fokus pada dia seorang dan bukan enam orang yang datang bersama.
Dalam bab ini, saya boleh tekankan gosip dan fitnah berpisah tiada dalam politik,” katanya.