Pusat dialisis dalam masjid

Iklan
Zaidah (lima dari kanan) dan ahli Persatuan Dialisis MJSAA bersama Datin Paduka Arafiah (tengah) di hadapan Pusat Dialisis MJSAA.

PETALING JAYA - Kubah oren Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA) adalah salah sebuah bangunan yang menjadi mercu tanda dan menarik perhatian ramai di sepanjang Jalan Templer yang sibuk di sini.

Namun tidak ramai yang menyedari bahawa terdapat sebuah pusat dialisis di dalam masjid berkenaan yang merawat ribuan pesakit sejak beroperasi bermula pada 2010.

Iklan
Iklan

Yang Dipertua Persatuan Dialisis MJSAA, Zaidah Harun, 61, berkata, pusat itu merawat pesakit dengan masalah buah pinggang tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama mereka.

"Sesiapa sahaja boleh, Muslim atau bukan Islam. Kami mempunyai pesakit dari pelbagai kaum termasuk dari luar negara sebelum ini selain Melayu, Cina dan India," katanya.

Iklan

Zaidah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ulang tahun Ke-10 Persatuan Dialisis MJAAA di masjid berkenaan di sini hari ini.

Majlis ulang tahun itu dirasmikan Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Iklan

Menurutnya, terdapat lapan mesin dialisis disediakan di pusat rawatan tersebut dengan menjalankan dua sesi rawatan kepada pesakit dari sekitar kawasan berkenaan.

"Dua daripada mesin dialisis yang terdapat di sini disumbangkan oleh Tengku Puteri Datin Paduka Arafiah Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah," kata Zaidah.

Menurutnya, setiap pesakit dikenakan bayaran RM170 bagi setiap rawatan, di mana bayaran dikenakan adalah lebih rendah berbanding daripada banyak pusat dialisis lain.

"Kami juga membenarkan pesakit yang tidak mampu membayar dalam jumlah penuh untuk membayar apa sahaja yang mereka mampu," katanya kepada Sinar Harian.