SHAH ALAM - Sebanyak 648 produk makanan pelbagai jenis bernilai lebih RM20,000 dirampas dalam Ops Khas Akuan Kesihatan yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor di 16 premis sekitar negeri itu Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata, pemeriksaan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mendapati pengusaha tidak mematuhi keperluan pelabelan produk makanan dalam Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985.
Menurutnya, sebanyak 10 notis kompaun bernilai RM30,000 turut dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 bagi pelbagai kesalahan.
"Antara kesalahan dikenalpasti adalah terdapat akuan kesihatan yang tidak dapat disahkan dan mengandungi pernyataan mengenai khasiat sesuatu makanan dalam perawatan atau penyembuhan penyakit tertentu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Katanya, dalam operasi tersebut perkara lain yang turut diperiksa adalah nama dan alamat pengilang di label makanan.
Terdahulu, Dr Khalid memaklumkan berlaku lambakan produk kesihatan yang mempunyai akuan kesihatan tidak dapat disahkan dan boleh memperdayakan pengguna sehingga mendatangkan kemudaratan.
Beliau berkata, peniaga mengaut keuntungan tanpa memikirkan jaminan kesan keselamatan dan kesihatan pengguna terutamanya mereka yang menghidap pesakit kritikal.