'Belanjawan 2020 belanjawan DAP' bikin Dewan Rakyat kecoh

Iklan
Sidang parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR - Tindakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melabel Belanjawan 2020 sebagai belanjawan DAP menyebabkan Dewan Rakyat menjadi kecoh hari ini.

Kekecohan tercetus setelah Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) dalam sesi perbahasan menegaskan belanjawan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sememangnya belanjawan DAP kerana dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang merupakan pemimpin DAP dari komponen PH.

Iklan
Iklan

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudiannya mempertikaikan Mahdzir dengan mengatakan"Padang Terap, tak ada modal lagi ke? Apa sebab belanjawan (2020) dipanggil belanjawan DAP?"

Mahdzir kemudiannya merujuk pendedahan Zuraida Kamaruddin (PH-Ampang) mendakwa tidak mengetahui langkah kerajaan menurunkan nilai ambang pembelian kondominium dan hartanah mewah tidak terjual kepada orang asing daripada RM1 juta kepada RM600,000.

Iklan

"Ampang dari PKR buat kenyataan media dia tidak tahu mengenai peruntukan RM1 juta diturunkan RM600,000 jual kepada luar negara, itu dia tidak tahu, jadi itu bukti DAP yang bentang dan sedia belanjawan 2020.

"Bagan dari mana? Dari DAP!" katanya sebelum kenyataan itu lantas ditepis barisan ahli Parlimen PH yang membantah dakwaan tersebut.

Iklan

Rayer juga mendapat sokongan daripada dua ahli Parlimen PH iaitu Kasthuri Patto (Batu Kawan) dan Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) yang menegaskan Belanjawan 2020 adalah pembentangan kerajaan dan suara bulat PH.

Sementara itu, Cha Kee Chean (PH-Rasah) meminta Mahdzir berhenti memainkan sentimen perkauman sewaktu membahas belanjawan.

"Kalau nak bahas belanjawan, bahas sahaja lah. Jangan jadi rasis,” katanya.

Kenyataan Kae Chean dibidas Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang menyifatkan ahli Parlimen PH sering beremosi sewaktu berbahas di Dewan Rakyat.

"Kau marah kenapa?” katanya.

Kee Chean sempat menyindir dan berseloroh meminta Bung Mokhtar memperbaiki penguasaan bahasa Melayunya.

"Saya fikir Kinabatangan pun kena masuk kelas untuk 'touch up' penguasaan bahasa Melayunya," katanya.