KUALA LUMPUR - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyasarkan 30 peratus peningkatan pengeluaran jagung bijirin bagi industri makanan haiwan ternakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, ini bagi memenuhi permintaan serta menampung keperluan makanan haiwan ternakan dalam negara di samping mengurangkan kebergantungan import jagung bijirin dari luar negara.
Menurutnya, dalam hala tuju baharu kementeriannya yang dilancarkan Februari lalu, pihaknya telah mempunyai rancangan rapi dan juga berusaha untuk merapatkan Imbangan Dagangan (BOT) negara.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, melalui usaha pemenang Anugerah Agropreneur Agrobank 2019, Ramana K Naidu yang merupakan antara pengeluar jagung bijirin utama negara, jelas menunjukkan industri makanan haiwan penting pada masa hadapan.
"Kami ingin bina dengan serius industri makanan haiwan ternakan ini. Ia dibuktikan lagi, dia (Ramana K Naidu) tanam 800 ekar (323.75 hektar) jagung bijirin dan berjaya. Saya difahamkan sebelum ini beliau seorang juruterbang, sanggup berhenti kerja dan tanam jagung bijirin.
"Ini bukti kita mampu untuk membekalkan (makanan binatang). Jadi, kalau Pak Amran (Andi Amran Sulaiman, Menteri Pertanian Indonesia) bangga dia telah cukup bekalan jagung bijirin di Indonesia, kenapa tidak Malaysia bergerak mencapai ke arah 30 peratus pengeluaran jagung bijirin ini,” katanya selepas menyampaikan Anugerah Agropreneur Agrobank 2019 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.
Dalam perkembangan lain, Salahuddin berkata, masalah pengedaran padi kepada pesawah di beberapa kawasan seperti Perlis, Sabak Bernam serta Rompin akan selesai dalam minggu ini.
Sebelum ini, dilaporkan ribuan pesawah di beberapa negeri khususnya Sabak Bernam, Selangor bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi susulan kesukaran mendapat benih padi sah daripada pembekal seluruh negara.
"Tahun ini saja sudah 72,000 tan kita sempurnakan,” katanya.
Dalam pada itu, Salahuddin berkata, beliau akan mencadangkan kepada Kabinet supaya Ketua Setiausaha (KSU) kementeriannya diberi kuasa bagi urusan pengagihan kuota benih padi supaya prosesnya dapat dipendekkan.
"Saya sudah bincang dengan KSU di peringkat polisi nanti bersama Kementerian Kewangan. Kalau boleh kuasa untuk memenuhi kuota itu terus sahaja kepada KSU, jadi ia tidaklah makan minggu, makan bulan untuk menguruskan perkara tersebut,” katanya. - Bernama