KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpendapat perlu adanya jadual bagi memastikan menteri tidak lagi culas menghadiri Sidang Rakyat.
Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada Pakatan Harapan (PH) ada menyediakan jadual tersebut dan kalau ada, beliau mendakwa ia seakan tidak begitu dipatuhi.
"Pada zaman BN (Barisan Nasional), kami membuat jadual supaya menteri dan timbalan menteri, sejumlah orang yang tertentu berada di Parlimen ketika sidang berlangsung.
"Saya tak nampak (sekarang) jadual ini ada dibuat. Saya ingin mencadangkan supaya mereka buat jadual bertugas menteri dan timbalan menteri,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Memahami kesibukan menteri, bekas timbalan menteri itu menyatakan sekiranya tiada menteri, sekurang-kurangnya timbalan menteri boleh menggantikan tempatnya.
"Sepatutnya ke sidang dewan, kalau bukan menteri, timbalan menteri kena ada. Takkan menteri sibuk, timbalan menteri pun sibuk juga.
"Kalau 20 orang timbalan menteri berada di hadapan pada tiap-tiap masa, kan cantik.
"Dia boleh mendengar hujahan melibatkan kementerian mereka secara terus, bukan dari laporan pegawai-pegawai dan hansard,” katanya.
Hari ini, Sinar Harian melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau sudah memberi amaran kepada Ahli Parlimen dari PH supaya hadir ke Dewan Rakyat semasa perbahasan Belanjawan 2020.
Menurutnya, perkara itu sudah dimuktamadkan di dalam Mesyuarat Kabinet yang menekankan betapa pentingnya kehadiran wakil rakyat PH di Parlimen.