Eksport minyak sawit dengan China positif

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Hubungan diplomatik antara Malaysia dan China yang kian kukuh berjaya merekodkan prestasi positif terhadap nilai eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit.

Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, peningkatan eksport itu disebabkan penggantungan duti eksport minyak sawit mentah Malaysia yang menjadikan harganya lebih menarik bagi pengimport dari negara itu selain faktor perang perdagangan China-Amerika Syarikat yang berlanjutan hingga kini.

Iklan
Iklan

"Bagi tempoh Januari-Ogos 2019 eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit ke China telah mengalami peningkatan 473,348 tan metrik atau 25.4 peratus kepada 2.33 juta tan metrik berbanding 1.86 juta tan metrik pada tempoh yang sama bagi tahun 2018," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mengenai status eksport kelapa sawit ke China sama ada bertambah baik atau menurun hasil daripada pemulihan hubungan baik di antara negara itu dengan Malaysia.

Iklan

Dalam pada itu Shamsul Iskandar turut menyatakan kesediaan kementeriannya untuk meneroka pasaran-pasaran baharu berkaitan eksport minyak sawit dan produk-produk berasaskan sawit, di samping akan mempertingkat pasaran sedia ada dengan rakan-rakan dagang import.

"Fokus kita untuk tahun depan melibatkan Vietnam dengan peningkatan 18 peratus (eksport) untuk tempoh Januari-September 2019 berbanding tempoh yang sama pada 2018 Angola pula meningkat sekitar 46 hingga 47 peratus, begitu juga Uzbekistan dan Mexico. - Bernama

Iklan