'Terima kasih ALLAH sempurnakan jenazah anak, cucuku'

Iklan

MELAKA TENGAH -"Terima kasih ALLAH kerana telah sempurnakan jenazah anakku dan cucuku, terima kasih," demikian doa yang dititipkan oleh seorang ibu, Fatimah Latiff, 61, di pusara anak dan cucunya yang dikebumikan dalam satu liang lahad, tengah malam tadi.

Dua beranak mangsa pembunuhan kejam, Nurfazera Bidin, 27, dan anaknya Muhammad Iman Asraf Abdullah,11 selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bertam Malim.

Iklan
Iklan

Fatimah berkata, dia bersyukur urusan pengebumian itu telah selesai dan menganggap segala yang berlaku sebagai ujian ALLAH SWT untuknya lebih tabah meneruskan kehidupan di samping anak dan cucu tersayang yang masih ada.

Menurutnya, sejak suaminya meninggal dunia kerana sakit, dia telah diuji dengan pelbagai dugaan termasuk berdikari membesarkan anak-anak dengan bekerja sebagai tukang cuci, namun ujian kali ini hingga meragut dua nyawa insan tersayang adalah paling besar dia laluinya.

Iklan

Katanya, apa pun yang berlaku, dia percaya ALLAH SWT sentiasa ada bersama dan menjadikan dirinya seorang ibu dan juga nenek yang kuat serta tabah.

"Pada malam pengebumian mak cik cuba untuk tidak mengalirkan air mata walaupun terlalu merindui arwah dan sedih dengan pemergian mereka secara kejam.

Iklan

"Mak cik kena kuat, minggu pertama menerima berita yang menimpa anak dan cucu, setiap saat pasti mahu melihat gambar mereka kerana terlalu rindu.

"Namun mak cik percaya ALLAH SWT berikan ujian itu bukan saja-saja tapi untuk jadikan kita hamba-Nya yang lebih tabah," katanya tenang.

Fatimah ditemui Sinar Harian di kediamannya di Rumah Pangsa Pegaga Taman Merdeka, di Batu Berendam, di sini, hari ini.

Tambah Fatimah, setiap kali memandang pintu rumah, pasti teringat arwah cucunya, Iman yang akan pulang ke rumah selepas tamat sesi persekolahan.

"Selalu jam 2 petang arwah pulang dari sekolah dan dia akan ketuk pintu rumah,"Assalamualaikum Nini, kebiasaannya dia tahu mak cik sedang solat dan dia akan ketuk tingkap bilik belakang, dan beri salam lagi, 'Assalamulaikum Nini abang dah balik'.

"Abang Iman minat mengaji bila balik sekolah dia akan buat kerja sekolah dan selepas itu bersiap-siap pergi mengaji dan telah sampai surah Yusuf," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek bunuh kerat lapan ditahan: PDRM

Menurutnya, mana mungkin kenangan yang telah banyak tercipta bersama anak dan cucu yang dikasihi itu terpadam sekelip mata setelah segalanya diragut oleh insan yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, sebagai ibu yang melayan menantu seperti 'menatang minyak penuh' sudah pasti sukar menerima perbuatan itu, namun tidak sedikit pun terselit rasa dendam.

Dia berkata, apa yang diharapkan anaknya yang lebih mesra dipanggil Baby mendapat pembelaan sewajarnya dan pelaku dikenakan hukuman setimpal.

"Ramai juga yang datang bagi sokongan dan semangat, mak cik memang berterima kasih dan mak cik harapkan ada pembelaan bagi kedua-dua arwah, dan pembelaan itu dapat ditegakkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kepala disyaki milik dua beranak dikerat lapan ditemui

Kes kerat lapan: Kepala dua beranak atas siling

Dua beranak dikerat lapan: Mayat ditemui sah milik dua beranak


Terdahulu, polis mengesahkan bahagian badan yang ditemui dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian dan ditemui berselerakan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, 10 Oktober lalu adalah milik ibu dan anak.

Pasangan beranak itu adalah Norfazera dan anak lelakinya Muhammad Iman Asraf yang dipercayai dibunuh suaminya, warga Singapura.