KUALA LUMPUR - Tun Daim Zainuddin kini dalam proses berbincang dengan pihak koperasi tempatan bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk memecahkan monopoli golongan orang tengah dalam perniagaan, khususnya industri kecil.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) juga berharap penyelesaian tersebut dapat dikenal pasti dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
"Adalah diharapkan dalam beberapa bulan lagi, kita berjaya melakukan perkara itu (memecahkan monopoli oleh orang tengah)," katanya kepada pemberita di luar Persidangan PRAXIS 2019 anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di sini hari ini.
Daim merupakan speaker bagi sesi akhir persidangan dua hari bertajuk 'Sembang Rumusan Persidangan PRAXIS ISIS 2019: Refleksi, Unjuran dan Pendekatan Masa Depan' yang dikendalikan oleh Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang.
Mengulas selanjutnya, Daim berkata, golongan nelayan di kawasan perkampungan misalnya terbukti tidak menikmati keuntungan sebenar daripada hasil kegigihan mereka berikutan tindak-tanduk orang tengah yang mengambil kesempatan ke atas mereka.
Beliau berkata, sebagai contoh, nelayan di kawasan pedalaman menjual ikan kembung segar pada harga sekitar RM7 sekilogram kepada orang tengah yang sebaliknya mengaut untung besar apabila bertindak menjualnya pada RM22 sekilogram di kawasan bandar.
Menurutnya, sudah pasti baik nelayan mahu pun pengguna tidak mungkin berpuas hati dengan harga di peringkat masing-masing apabila orang tengah yang meraih sebahagian besar keuntungan daripada kenaikan harga tersebut.
Selain itu, menyentuh aspek pendidikan, Daim berpendapat, ibu bapa tidak boleh bergantung semata-mata kepada peranan guru.
"Kita tidak boleh mengharapkan hanya guru yang mendidik pelajar kerana ibu bapa juga bertanggungjawab untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran tertentu.
"Malah, keluarga juga perlu terbabit sama. Ini bukan soal untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi (pada masa sama) bertujuan mendidik anak-anak untuk berfikir, menyelesaikan masalah, lebih berkeyakinan serta mampu bersaing," tegas beliau.
Bagi isu kebebasan media, Daim berkata, kebebasan itu adalah ketara, khususnya selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan.
"Rakyat bebas untuk berkata apa sahaja...malah sudah ada cadangan untuk penubuhan Majlis Media Malaysia yang merupakan satu perkara yang baik. Bagi pengamal media misalnya, pengalaman mereka dalam rejim sebelum ini tidak mungkin diulangi tetapi media juga perlu bertanggungjawab," katanya.
Persidangan dua hari bertemakan Malaysia Melangkaui 2020, telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.
Antara speaker terkemuka yang turut menyertai persidangan itu termasuk bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin. - Bernama