KOTA BHARU - Penduduk sekitar Pantai Pulau Kundur, Kuala Besar di sini berdepan kebimbangan apabila Ribut Tropika Pabuk mula melanda perairan Pantai Timur negara ini.
Seorang penduduk Kampung Pantai Pulau Kundur, Mek Jah Yaakub, 56, berkata, sebelum ini keadaan angin musim tengkujuh tidak begitu membimbangan namun sejak semalam angin kuat mengundang keresahan mereka sekeluarga.
Iklan
Iklan
Katanya, jam 5 pagi tadi ombak membadai benteng di belakang kediamannya sehingga menghampiri rumahnya.
"Jam 5 pagi tadi air naik sampai belakang rumah. Angin kuat ini berlaku sejak Rabu lalu dan bila hujan bermula semalam ia amat membimbangkan kami.
" Hanya rumah kami sahaja yang paling hampir dengan pantai dengan jarak 4 meter dari pantai. Tak banyak yang boleh kami lakukan selain berdoa agar semua ini cepat berlalu. Keadaan paling teruk yang menyebabkan kami terpaksa berpindah ialah ketika banjir besar 2014. Ketika itu kami berpindah ke sekolah berdekatan kerana air pasang besar melebihi satu meter depan rumah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Difahamkan, Mek Jah tinggal di rumah itu 10 beranak termasuk suaminya, Isa Hassan, 63, anak-anak dan seorang cucunya.
Dia yang berasal di situ berkata sehingga kini masih tiada sebarang arahan diterima berkaitan perpindahan namun akan tetap mengikuti perkembangan semasa berkaitan ribut tropika berkenaan.