SHAH ALAM - Peserta yang mengikuti Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 (PANTUMN2019) menzahirkan sokongan terhadap persidangan itu sebagai medium penyampaian ilmu yang lebih meluas daripada para ulama Islam kepada masyarakat.
Suriani Sabari, 50, yang merupakan seorang pensyarah di Kolej Vokasional Shah Alam berkata, persidangan ini secara langsung memberikan impak yang sangat baik sekaligus memastikan ilmu yang diperoleh adalah tepat dan sahih secara keseluruhannya.
"Saya bersyukur kerana berpeluang menghadiri persidangan itu buat kali pertama.
"Bagi saya persidangan ini menyajikan banyak maklumat mengenai ulama yang ada di Nusantara melalui seminar yang dianjurkan," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini hari ini.
Bagi pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Farah Hamizah, 30, berkata, persidangan ini wajar diteruskan kerana ia memberikan banyak pengetahuan terutamanya mengenai ulama selain memberi manfaat kepada golongan muda sepertinya.
"Memandangkan golongan muda kurang ilmu pengetahuan tentang ulama zaman lampau, setidaknya persidangan ini memberikan kepelbagaian maklumat mengenai ulama yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan agama Islam," katanya.
Nursyamimi Ramdan Hasan, 20 pula berkata, dia mengetahui mengenai ulama Melayu yang mempunyai pengaruh besar dalam penyebaran ilmu agama melalui persidangan tersebut.
"Kita kurang pendedahan sebenarnya mengenai ulama-ulama, dengan persidangan ini ternyata ramai ulama yang mempunyai jasa besar bukan sahaja dalam bidang agama, malahan ulama menjadi teras dalam kekuatan masyarakat. Bagi saya program sebegini perlu diteruskan di masa akan datang," katanya.
Terdahulu, Bandaraya Shah Alam mencatat sejarah tersendiri apabila PAnTUMN2019 bersidang buat kali ketiga hari ini.
Mengangkat tema 'Legasi, harapan dan cabaran ulama-ulama dalam mendepani arus globalisasi di rantau Nusantara', persidangan itu berjaya mengumpul lebih 50 kertas kerja daripada pembentang.
Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, persidangan itu adalah aktiviti dwitahunan antara Pusat Pengajian Teras (PPT), KUIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang telah berjaya mengetengahkan ramai tokoh ulama daripada seluruh Nusantara.