KUALA LUMPUR - AirAsia memaklumkan tidak ada keperluan bagi kumpulan penerbangan itu untuk memberi respons kepada permintaan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) untuk mendapatkan butiran terperinci mengenai kesesakan yang berlaku pada setiap hari di kaunter Imigresen KLIA2.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat berkata, suruhanjaya itu perlu turun padang bagi melakukan pemeriksaan dan menyiasat isu yang diutarakan.
"Kenapa kita perlu memberi keterangan apabila isu itu telah diketengahkan secara terbuka di media massa dan platform media sosial? Ia hanya membuktikan Mavcom tidak mampu melakukan tindakan, malas dan mengabaikan tanggungjawabnya dalam melindungi hak pengguna penerbangan.
"Ia hanya memerlukan pegawai Mavcom beberapa jam sahaja dari pejabat Kuala Lumpur Sentral untuk melakukan lawatan pantas ke KLIA2 untuk mereka melihat sendiri betapa teruknya keadaan di kaunter imigresen ketika waktu puncak.
"Mereka boleh datang pada mana-mana hari, kerana ia adalah kejadian harian dan bukan kejadian terpencil seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Riad berkata, tiada siapa dari Mavcom termasuk pengerusi eksekutifnya, pernah melawat ibu pejabat AirAsia, RedQ, terletak bersebelahan KLIA2.
Sejak Mei 2018, Mavcom telah mengutip RM1 daripada setiap penumpang udara keluar dari lapangan terbang di Malaysia.
"Dianggarkan bahawa Mavcom telah memperoleh sebanyak RM30 juta, jika tidak lebih daripada itu, menerusi caj perkhidmatan kawal selia. Setakat ini, ia masih belum menerbitkan laporan tahunannya bagi 2018," katanya.
Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi ketika mengumumkan kutipan caj perkhidmatan kawal selia sebanyak RM1 oleh syarikat penerbangan bagi pihak Mavcom pada 2017 dipetik sebagai berkata, caj kawal selia hanya dibenarkan dikenakan ke atas penumpang, disebabkan perkhidmatan yang diberikan oleh Mavcom kepada mereka, termasuk pengurusan aduan dan aktiviti kesedaran pengguna yang perlu dijalankan dari semasa ke semasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Mavcom belum terima rekod kadar kesesakan di kaunter Imigresen KLIA2
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail berkata, semua rakyat Malaysia perlu memastikan Mavcom bertanggungjawab atas kegagalan mereka dalam menegakkan dan melindungi hak pengguna penerbangan, pengguna telah menyumbang kepada tabung Mavcom untuk membayar gaji lumayan kepada pesuruhjaya dan eksekutifnya.
"Sementara itu, kesesakan imigresen di klia2 semakin parah dari hari ke hari, ia memberi kesan buruk kepada penumpang kami. Akibat kecewa, kami menulis surat kepada Mavcom meminta mereka bertindak dan menyelesaikan masalah tersebut," katanya.
Benyamin berkata, ini bukanlah kali pertama keengganan Mavcom untuk bertindak atas aduan dan isu dan ia tidak akan menjadi yang terakhir.
"Saman RM480 juta yang difailkan AirAsia terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bagi kerugian operasi di KLIA2 dua minggu lepas adalah disebabkan keengganan Mavcom untuk membuat keputusan berhubung pertikaian itu seperti diminta dalam pemberitahuan AirAsia sebelum ini kepada suruhanjaya itu.
"Mavcom juga tidak mahu menjadi orang tengah bagi pertikaian antara AirAsia Group dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkaitan caj perkhidmatan penumpang (PSC), yang telah mendorong Kabinet memutuskan kadar PSC lebih rendah bagi KLIA2 dan lapang terbang yang lain. Kesemua itu jelas bercanggah dengan Seksyen 75 Akta Mavcom 2015.
"Mavcom akan tercatat dalam sejarah Malaysia sebagai suruhanjaya yang perlu diberi semua maklumat tanpa perlu berbuat apa-apa walaupun ahli dan pekerjanya dibayar gaji yang lumayan. Mavcom harus ingat ia dibiayai pada jumlah tinggi oleh rakyat namun mereka memilih untuk tidak berkhidmat kepada rakyat,” katanya.- Bernama