KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador meminta keluarga tahanan yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) untuk bersabar sehingga siasatan selesai.
Abdul Hamid berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan terhadap 12 individu termasuk dua Adun dari Melaka dan Negeri Sembilan yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Iklan
Iklan
"Pasukan penyiasat sedang mempercepatkan siasatan supaya kertas siasatan dibawa kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Sukan Polis Diraja Malaysia di Pusat Latihan Polis di sini, hari ini.
Beliau turut menyampaikan rasa simpati terhadap keluarga tahanan yang akan menyambut perayaan Deepavali Ahad ini.
"Saya bersimpati perayaan Deepavali semakin hampir tapi tindakan pihak saya adalah untuk keperluan kepentingan dan keselamatan, bagi keluarga yang masih tidak berpuas hati, mohon bersabar.
"Saya jamin keadaan mereka sentiasa dijaga dan kami akan memberi hak segala yang dibenarkan dalam undang-undang pada keluarga untuk melawat, kita akan berikan kemudahan itu," katanya.
Beberapa ahli keluarga tahanan berhimpun di hadapan Bukit Aman sejak semalam, sebagai protes dan menggesa polis untuk membebaskan mereka bagi menyambut perayaan Deepavali.