KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan diminta supaya mengkaji semua cadangan mengehadkanc, warung dan restoran di negeri itu sehingga jam 12 tengah malam yang dijangka dikuat kuasa bermula tahun depan.
Peniaga, Abdul Ghani Mohd Nawi, 36, berkata, perkara itu perlu diperhalusi semula berikutan dibimbangi akan menyekat sumber ekonomi penduduk di Kelantan.
Menurutnya, umum mengetahui Kelantan adalah antara negeri yang sangat maju dalam apa-apa jua bidang perniagaan termasuklah dalam industri makanan seperti kedai makan dan warung-warung yang menyajikan pelbagai jenis serta aneka makanan lazat untuk dinikmati.
"Adalah lebih baik kerajaan membenarkan operasi sampai malam sekali pun dan pada masa sama melakukan pemantauan dari kedai ke kedai sekiranya niat asal mahu mengekang gejala sosial seperti memantau pengunjung yang tidak menutup aurat dan sebagainya tetapi bukan dengan cara menghadkan waktu operasi perniagaan seperti ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Semalam media melaporkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob memberitahu kerajaan Kelantan akan mengehadkan waktu operasi kedai makan, warung, atau restoran sehingga jam 12 tengah malam bermula tahun depan.
Penguatkuasaan itu bakal dilakukan bertujuan mengekang gejala sosial susulan satu kajian mengenal pasti punca golongan belia sering keluar rumah pada waktu malam antaranya kerana operasi restoran melebihi jam 12 tengah malam.
Sementara itu, seorang lagi peniaga restoran, Azmi Ahmad, 40, dari Bachok berkata, tindakan mengehadkan tempoh kedai makan, warung, atau restoran beroperasi hanya sehingga jam 12 tengah malam tersebut adalah tidak relevan kerana ada faktor yang lebih besar menyumbang gejala sosial dan perlu dititikberatkan.
"Dalam keadaan sekarang, penduduk mencari sumber pendapatan kedua dengan siang hari bekerja hakiki makan gaji manakala sebelah malam pula ada membuka kedai makan dan berniaga pelbagai jenis makanan untuk menambah pendapatan.
"Pelanggan ke kedai makan bukan semuanya pergi untuk bersosial terutama musafir, mereka datang untuk makan. Terjadinya gejala sosial pula ada faktor lain yang lebih besar contohnya seperti penggunaan gajet yang berleluasa dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya perlu ada pengawasan dan pemantauan tetapi tidak pula difikirkan pihak kerajaan cara untuk mengatasinya.
"Restoran makanan segera tidak pula dihadkan masa operasi tetapi rakyat sendiri hendak berniaga kecil-kecilan ini dihadkan pula, fikirlah cara lain yang lebih munasabah supaya hasilnya lebih seiring iaitu ekonomi penduduk terjaga di samping gejala sosial pula terkawal,” katanya.