ARAU - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima kunjungan menghadap hormat oleh satu delegasi seramai 22 orang dari International Children Camp, Artek, Rusia di Istana Arau petang semalam.
Kunjungan tersebut memberikan kesempatan kepada seluruh delegasi bertemu sendiri dengan baginda berdua di samping melihat lebih dekat lagi koleksi peribadi diraja Perlis di Galeri DiRaja Arau, melawat perkarangan istana, Balairong Seri dan juga Dewan Bankuasi Istana.
Iklan
Iklan
Rombongan tersebut diketuai guru pengiring, Dolgikh Valerii.
Turut serta ialah Pengerusi Malaysian Tropical Environment Adventure and Fellowship Society (MyLEAF), Azmi Nashriby yang membawa delegasi dari Rusia ini untuk berkunjung ke Perlis dari Pulau Langkawi.
Bersempena Oktober sebagai ‘Bulan Kesedaran Kanser Payudara’, baginda berdua turut berkenan melakukan simbolik tanda sokongan bersama para delegasi terbabit di perkarangan Istana Arau dengan mengelilingi sebuah replika riben merah jambu gergasi dan melepaskan puluhan belon merah jambu ke udara.
Dalam rangka lawatan sehari suntuk di Perlis, para tetamu juga berpeluang melawat beberapa tempat menarik di Perlis yang diaturkan Pejabat Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) seperti Gua Kelam di Kaki Bukit, bekas Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Guar Chenderai, Jambatan Gantung Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Mata Ayer, kawasan sawah padi serta merasai makanan tempatan selera kampung di restoran Anjung Keli sebelum ke Galeri DiRaja Arau dan seterusnya pulang semula ke Pulau Langkawi pada sebelah petangnya.
Artikel Berkaitan