OKU bekerja jadi ikon kepada penganggur

Iklan
Mahfuz (kiri) melihat kemahiran Azhar membaiki motosikal ketika mengadakan lawatan kerja, hari ini.

BATU GAJAH – Kementerian Sumber Manusia akan menjadikan golongan kurang upaya (OKU) yang menggunakan kemahiran untuk bekerja sebagai ikon dalam usaha mengatasi masalah pengangguran di negara ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, golongan OKU yang bekerja merupakan contoh terbaik kerana mereka sanggup berdikari dengan keupayaan yang ada tanpa mengharapkan ihsan serta bantuan kewangan orang lain.

Iklan
Iklan

"Dalam konteks sekarang, sepatutnya sudah tidak ada istilah pengangguran, media perlu bantu kerajaan dengan mengangkat mereka ini sebagai ikon kepada masyarakat, berbanding mereka yang sepatutnya boleh bekerja tetapi hanya duduk sahaja di rumah mengeluh memikirkan masalah kehidupan kononnya tak ada kerja, pendapatan dan sebagainya.

"Saya telah bercakap dengan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk mengiktiraf orang-orang OKU yang mempunyai keupayaan luar biasa ini sebagai ikon.

Iklan

"Mesej yang kita nak beri jelas agar semua pihak sedar dan membina pemikiran bahawa pengangguran tiada dalam kehidupan, nak seribu daya, mahu seribu cara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Bengkel Motosikal Azhar yang diusahakan seorang OKU cacat penglihatan, Azhar Ibrahim di Jalan Tanjung Tualang, hari ini.

Menurutnya, kementerian juga bercadang untuk mewujudkan satu lagi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri untuk diberikan kepada pekerja OKU.

Iklan

Jelasnya, sebelum ini anugerah tertinggi yang mengiktiraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu hanya diberikan kepada belia dan pengajar daripada institusi latihan kemahiran awam dan swasta.

"Bagaimana prosedur dan pemilihan itu, akan kita bincang kemudian bersama agensi berkenaan yang melibatkan tujuh kementerian, tetapi apa yang pasti, saya selaku pengerusi pertandingan (anugerah) itu akan cadangkan tahun ini diwujudkan anugerah khas ini, agar dapat dijadikan rangsangan kepada OKU.

"Kita mahu menjadikan mereka bukan sahaja ikon kepada penganggur, tetapi dalam pendidikan TVET itu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kementerian dibawah Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang-orang Kurang Upaya menyediakan bantuan geran berjumlah RM2 juta setiap tahun.

"Bagi RMK 11 hingga kini, seramai 171 OKU yang telah memulakan perniagaan mereka menerima bantuan ini termasuklah Azhar yang kita lawati, hari ini.

"Beliau menerima bantuan lebih RM10,000 pada 2013 lalu untuk membeli peralatan dan kelengkapan bengkel ini,” katanya.

Mahfuz berkata, kementerian bersama kerajaan negeri akan memantau bantuan-bantuan lain yang diperlukan Azhar termasuklah latihan kemahiran daripada Institut Latihan Perindustrian untuk meningkatkan skill dalam kerja-kerja membaiki motosikal.

"Kalau selama ini, Azhar hanya membaiki motosikal kapcai, kita nak suatu hari nanti, dia juga mampu membaiki motosikal berkuasa tinggi, ini harapan kerajaan kepada OKU yang lain juga,” katanya.

Kisah Azhar, 36, yang menggunakan pendengarannya untuk membaiki motosikal mendapat liputan luas media dan tular di media sosial sejak dua tahun lalu.