TOKYO - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada kerajaan Jepun atas kelancaran perjalanan Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito di Istana Imperial di sini, yang dihadiri ratusan ketua negara dan kenamaan dari seluruh negara pada Selasa.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka menzahirkan ucapan itu kepada Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada pertemuan mereka yang berlangsung di Rumah Tamu Negara Akasaka di sini semalam, selepas upacara pertabalan itu selesai.
Katanya, Al-Sultan Abdullah yang berkenan menerima menghadap Abe juga mengetepikan protokol untuk berkunjung ke lokasi pertemuan tersebut bagi meningkatkan hubungan baik yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Jepun.
"Pada pertemuan yang berlangsung selama 20 minit itu, Seri Paduka turut menzahirkan tahniah kepada pasukan ragbi Jepun yang mencipta sejarah untuk layak ke suku akhir Piala Dunia Ragbi buat kali pertama baru-baru ini.
"Abe yang berterima kasih kepada Seri Paduka berjanji akan menyampaikan ucapan itu kepada pasukan dan berharap ia akan membakar semangat mereka untuk menunjukkan prestasi lebih baik pada kejohanan akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Fadil berkata, pada pertemuan selama kira-kira 20 minit itu, Seri Paduka menzahirkan ucapan takziah kepada kerajaan Jepun atas kehilangan nyawa lebih 70 orang dan kemusnahan akibat Taufan Habigis pada 12 Oktober lepas serta berharap mangsa yang terjejas akan segera bangkit daripada tragedi tersebut.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga menyentuh mengenai hubungan akrab kedua-dua negara termasuk menerusi lawatan negara oleh Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke Jepun pada Oktober 2012, selain lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak enam kali sejak 2018.
Selain itu, Maharaja Naruhito juga pernah mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada April 2017 semasa bergelar Putera Mahkota Jepun, selain lawatan negara oleh ayahanda baginda, Maharaja Akihito pada Jun 2006.
"Seri Paduka menzahirkan bahawa Malaysia sangat menghargai hubungan bilateral dengan Jepun selain kedua-dua negara mempunyai pertalian kuat dalam sektor ekonomi yang mana Jepun ialah negara kedua utama bagi pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia pada 2018 dan berharap ini akan berterusan," katanya.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke sini adalah selepas berkenan mencemar duli memenuhi undangan kerajaan Jepun bagi menyaksikan Upacara Pertabalan Maharaja Naruhito selaku Maharaja ke-126 negara matahari terbit itu.
Maharaja Naruhito, 59, dimashyurkan pada 1 Mei lalu, menandakan bermulanya era baharu iaitu ‘Reiwa’ yang bererti harmoni dan tertib bagi menggantikan ayahanda baginda, Maharaja Akihito, 85, yang melepaskan takhta sekali gus mengakhiri era 'Heisie' iaitu mencapai keamanan di bawah pemerintahan baginda.
Ironinya, kedua-dua Al-Sultan Abdullah dan Maharaja Naruhito menaiki tahkta pada tahun ini selepas ayahanda baginda berdua melepaskan takhta kepada anakanda lelaki sulung masing-masing atas faktor kesihatan.
Lawatan ini juga merupakan lawatan pertama Seri Paduka ke Jepun selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas dan sepanjang berada di sini, jadual Seri Paduka berdua amat padat dengan majlis yang berlangsung sempena pertabalan itu.
Selain Upacara Pertabalan pada tengah hari Isnin, Seri Paduka berdua menghadiri Majlis Santapan Malam anjuran Maharaja Naruhito dan Maharani Masako pada petang Selasa dan Jamuan Teh Diraja serta Majlis Makan Malam anjuran Abe malam ini, sebagai penghargaan kepada kenamaan yang menghadiri upacara bersejarah negara beliau.
Tunku Azizah yang merupakan Penaung Diraja Sahabat Asia Pasifik Persatuan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri Sedunia (WAGGGS) juga berkenan mencemar duli mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pandu Puteri Jepun, yang mana baginda turut mengurniakan sumbangan peribadi kepada mangsa Taufan Habigis.
Sepanjang berada di Jepun, Al-Sultan Abdullah juga berkenan menerima menghadap Naib Presiden Indonesia, Prof Dr Ma'ruf Amin yang juga Ketua Majlis Ulama Indonesia, yang berada di sini bagi mewakili negaranya pada upacara pertabalan itu.
Ahmad Fadil berkata, pada pertemuan yang berlangsung semalam, Seri Paduka menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Ma'ruf atas pelantikan mereka bagi tempoh 2019 hingga 2024 dan optimis hubungan baik kedua-dua negara akan terus diperkukuhkan.
"Ma'ruf juga memohon supaya Malaysia dapat menjaga kebajikan rakyatnya yang berada di negara kita dan berharap dapat bekerjasama dalam menangani perspektif negatif terhadap industri kelapa sawit oleh negara luar," katanya.
Seri Paduka pada pertemuan itu menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Indonesia atas layanan baik semasa baginda mengadakan lawatan negara ke negara jiran itu selama empat hari bermula 26 Ogos lalu.Seri Paduka berdua dijadual berangkat pulang ke ibu negara pada Khamis. - Bernama