KUALA LUMPUR - Seorang pemuda memerlukan kira-kira RM80,000 bagi menampung kos pembedahan kepalanya termasuk proses pemasangan tempurung implan.
Muhammad Adli Asyraf, 22, kini hilang keupayaan untuk berjalan sejak lebih sebulan lalu setelah tiba-tiba terjatuh di tempat kerja.
Bapanya, Jasni Abdullah, 56, berkata, doktor mengesahkan terdapat darah beku di bahagian kepala anak ketiganya itu dan pembedahan telah dilakukan segera pada November lalu.
Bagaimanapun katanya, pembedahan kedua pula bagi mengeluarkan darah beku itu dijadualkan pada 9 Januari ini.
"Pembedahan pertama, doktor terpaksa membuang sebahagian tempurung kepala. Kos pembedahan mencecah RM83,000 telah selesai dibayar menggunakan insuran tempat kerjanya dan saya tambah guna duit pencen RM33,000.
"Bagi pembedahan kedua, kos pembedahan membuang darah beku yang doktor cadangkan adalah kira-kira RM60,000 dan pembedahan memasang tempurung implan pula mencecah RM20,000,”katanya kepada Sinar Harian.
Jasni berkata, dia sekeluarga kini buntu memikirkan kos pembedahan berkenaan memandangkan pendapatan keluarga kini hanya bergantung dengan duit pencen kira-kira RM400 sebulan.
Ujarnya, buat masa ini juga anaknya itu memerlukan ubat khas yang disarankan doktor dengan kos mencecah RM2,000 sebulan.
"Ubat ini membantu untuk pulihkan otaknya kerana saluran darah pecah yang pecah di kepala menjejaskan otaknya.
"Doktor pakar sarankan pengambilan ubat ini untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan. Dalam masa sama dia juga menjalani sesi fisioterapi sebanyak tiga kali seminggu kerana sekarang ini dia tidak kuat untuk berdiri dan berjalan seperti biasa,”katanya.
Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan boleh salurkan ke akaun CIMB Bank atas nama Muhammad Adli Asyraf Jasni di nombor akaun 7057679401 atau hubungi Jasni ditalian 018-9880209 atau 010-9886334 (Whatsapp).