NILAI - Buat julung kalinya, Training of Trainers Interaksi Quran (TOTIQ) berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini membangkitkan semangat tadabbur dan tazakkur dalam kalangan masyarakat.
Program anjuran Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Seremban, Pusat Alumni Kerjaya dan Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM dengan kerjasama Sahabat Quran Korporat, RSG Medicare dan Akademi Sinergi Ikhlas ini merangka enam siri dengan kandungan berbeza setiap siri bagi mencapai matlamat TOTIQ.
Pengasas Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, program berkenaan memupuk masyarakat untuk kembali kepada cara hidup Islam, selain melahirkan legasi dan generasi anak-anak pencinta al-Quran.
"Matlamat pelaksanaan TOTIQ ini adalah untuk berkongsi teknik dan modul-modul latihan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.
"Berdasarkan R&D yang telah diuji cuba dan diterima baik yang mana peserta akan didedahkan dengan kemahiran dan pembelajaran secara berstruktur dan sistematik.
"Hasrat daripada latihan yang dikongsikan ini, insya-ALLAH dapat melahirkan lebih ramai daie profesional yang menguasai kemahiran tadabbur dan tazakkur yang diterima di dalam masyarakat mahupun korporat," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut katanya, melalui program ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada ramai ahli masyarakat dan mampu membentuk karakter bangsa berpandukan panduan di dalam al-Quran.
Menurutnya, program ini juga dapat menggerakkan aktiviti baca, faham dan amal al-Quran yang memerlukan pendidik memahami cara serta memindahkan kemahiran dan ilmu tersebut secara berstruktur.
"Harapan kami dapat melatih lebih ramai 'Agent of Change' (AOC) dalam kalangan mahasiswa mahasiswi, tenaga pengajar dan penggerak Rumah Ngaji yang mampu menyampaikan misi dakwah mengajak komuniti setempat untuk berinteraksi dengan al-Quran.
"Pusat Kecemerlangan Tadabbur (Tadabbur Centre of Excellence) yang bermula dari USIM yang berteraskan integrasi ilmu naqli dan aqli, akan menyumbang kepada kecemerlangan komuniti dan organisasi dalam melahirkan ummah yang dinamik dan progresif," katanya.
Pada program tersebut, seramai 170 peserta terdiri dalam kalangan para mahasiswa USIM, pensyarah, guru, Korporat, Asatizah, pengusaha tadika, penggerak Rumah Ngaji dan beberapa peserta yang datang dari Johor, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan juga Negeri Sembilan.