BUKIT KAYU HITAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kedah menyerbu sebuah stor yang menyimpan 46,150 kilogram (kg) baja tanpa lesen bernilai RM52,228 di Batu 7 Jalan Tokai, Alor Setar semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah, Omar Ismail berkata, serbuan yang dijalankan kira-kira jam 1 petang itu adalah hasil makluman awam dan intipan selama dua bulan lalu.
Menurutnya, ketika serbuan terdapat lima pekerja rakyat tempatan berusia antara 30 hingga 40-an berada di stor berkenaan.
"Hasil pemeriksaan kita berjaya menemui 600 guni baja jenama Lambang Asli, 200 guni baja jenama UREA 46%N dan 246 guni baja jenama Agro Bridge yang disimpan dalam stor simpanan berkenaan," katanya ketika sidang media di Stor Eksibit KPDNHEP Bukit Kayu Hitam di sini hari ini.
Omar berkata, siasatan awal mendapati baja berkenaan dijual kepada petani dengan harga jualan antara RM42 hingga RM68 satu guni.
"Stor berkenaan juga dijadikan lokasi transit sebelum baja-baja berkenaan dijual kepada pihak lain.
"Ini berdasarkan pemantauan oleh pegawai kita yang mendapati terdapat lori yang membawa keluar baja-baja berkenaan ke negeri lain," katanya.
Omar berkata, susulan itu, KPDNHEP telah menahan kelima-lima pekerja berkenaan untuk membantu siasatan dan masih mengesan pemilik stor berkenaan.
"Jika sabit kesalahan pertama, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali bagi individu.
"Bagi kesalahan kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun ataupun kedua-dua sekali," katanya.
Katanya, untuk syarikat, hukuman denda tidak melebihi RM2 juta dan tidak melebihi RM5 juta untuk kesalahan seterusnya.
"Di kesempatan ini juga saya menyeru semua peniaga barang kawalan seperti minyak masak, tepung, diesel dan lain-lain agar memohon lesen untuk premis mereka menjalankan perniagaan dan menyimpan barang terbabit," katanya.