PETALING JAYA - Seorang penoreh getah didenda RM8,000 atau penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menjual kandungan lucah atas talian pada Julai tahun lalu.
Tertuduh, Ruziman Kamaruzaman mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.
Mengikut pertuduhan, pemuda berusia 27 tahun itu didakwa menjual kandungan lucah atas talian menggunakan aplikasi Telegram dikenali dengan nama ‘Man Ccm’.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bandar Damansara Perdana di sini jam 12.34 tengah malam pada 1 Julai 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon hukuman setimpal kerana ia mengundang rasa malu kepada mangsa dan keluarga.
Selain tidak mahu tertuduh mengulangi kesalahan sama Nazrul berkata, tindakan tertuduh menyebabkan penularan kandungan lucah di media sosial menjadi lebih mudah.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu dikenakan hukuman yang ringan kerana tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan perlu menanggung ibu bapa.