KUALA LUMPUR - Penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ bukan kebetulan sebaliknya ‘kebetulan yang dirancang’.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin penyebaran komik tersebut dibuat oleh seseorang dengan perancangan teliti.
"Ini bukan kebetulan kerana saya sangat pasti seseorang merancangnya dengan teliti kerana ini telah berlaku dan beberapa kenyataan penafian telah dibuat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan, pihaknya sedang menunggu keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum memutuskan pengharaman pengedaran komik propaganda kontroversi itu.
Timbalan Menteri KDN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan menguatkuasakan undang-undang pengharaman pengedaran komik propaganda itu sekiranya disahkan menyalahi undang-undang.
ARTIKEL BERKAITAN: KDN tunggu keputusan KPM sebelum putus pengharaman komik propaganda
Menurutnya, KDN masih tidak tahu mengenai keputusan KPM mengenai isu itu, ditambah tindakan penafian daripada DAP bahawa parti itu terbabit membantu pengedaran komik itu ke sekolah-sekolah secara senyap-senyap.
Baru-baru ini, polis juga sudah merekod keterangan penulis komik tersebut di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung penerbitannya yang didakwa sebagai propaganda.