SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Najwan Halimi menggesa supaya ‘perang’ balas kenyataan antara pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan DAP dihentikan.
Menurutnya, pimpinan Pakatan Harapan (PH) juga dinasihat mengawal diri ketika mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan.
"Pimpinan PH perlu kawal diri dan elak dari keluarkan kenyataan atau pandangan yang bersifat memecah belah dan menggugat perpaduan.
"Tiada masalah untuk beri pandangan tapi gunalah saluran yang sewajarnya. Perang berbalas kenyataan di antara pimpinan Bersatu dan DAP ini perlu dihentikan,” tulisnya dalam status dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu dilaporkan berkata, gabungan PH akan kekal kukuh sebagai kerajaan walaupun tanpa Bersatu.
Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu turut mendakwa Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepimpinan PH.
Kenyataan itu menerima pelbagai reaksi daripada pimpinan Bersatu.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan Ronnie mempersoalkan kedudukan Bersatu serta pengerusi parti dianggap biadab selain melampaui pendirian pimpinan tertinggi PH.
ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli pula bersedia meninggalkan kerajaan PH Selangor sekiranya Ronnie tidak menghormati kepimpinan tertinggi PH.
Dalam pada itu Armada Bersatu sebelum ini turut memberi amaran kepada Ronnie supaya tidak 'menjolok sarang tebuan' dan menegaskan kenyataan angkuh yang dikeluarkan sebagai tidak bertanggungjawab.