IPOH - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador akan menemui Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan kenaikan elaun anggota 69 Komando.
Beliau berkata, cadangan kenaikan itu perlu dipertimbang, setimpal dengan tugas, risiko dan beban psikologi yang ditanggung.
"Keanggotaan komando sekarang ada 661 orang dan mereka ini merupakan pasukan terbaik antara yang terbaik, dalam 100 orang memohon masuk yang terpilih mungkin 10 atau 11 orang sahaja, bayangkan macam mana kualiti mereka ini.
"Jadi kita perlu bagi sebagaimana wajar dan saya cukup yakin mereka memang patut diberikan elaun lebih tinggi," katanya selepas merasmikan majlis sambutan Jubli Emas 69 Komando di Padang Kawad Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd Yusof.
Abdul Hamid berkata, kadar elaun yang dinikmati anggota pada masa kini bermula dari pangkat rendah adalah pada RM600 hingga RM750 dan kadar maksimum RM900.
"Kalau dapat naik 30 ke 40 peratus pun dah cukup baik, saya akan berikan usaha mohon kepada kerajaan, berjumpa dengan Yang Berhormat Menteri Dalam Negeri dan merayu kepada beliau supaya permohonan ini dipertimbang," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya bersedia mendapatkan khidmat unit elit luar negara bagi melengkapkan pasukan komando dengan latihan-latihan dan teknologi peralatan terkini.
Katanya, berbanding dahulu, teknik latihan komando pada masa kini semakin berubah termasuklah dalam hal senjata, kenderaan dan perubatan.
"Dulu latihan kita menyelam sahaja tetapi sekarang ada selam tempur, sambil menyelam sambil berlawan.
"Secara asasnya kita sudah pun punyai kemahiran tinggi dalam kalangan anggota komando cuma dalam teknologi terbaru dan terkini ini, kita akan dapatkan unit-unit elit dari luar negara jika perlu," katanya.