KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat nasihat Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek kepada ahli DAP berkaitan isu komik propaganda kontroversi harus diikuti.
Meskipun berbeza fahaman politik, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan demi kebenaran beliau bersetuju dengan kenyataan disuarakan Maszlee.
"Saya fikir apa yang beliau lontarkan itu harus diikuti sebab buku itu telah tersebar bukan hanya di sekolah. Kalau mahu jadikannya sebagai bahan rujukan, ia kini telah menjadi satu bahan untuk ditertawakan.
"Apa yang berlaku itu tentunya sesuatu yang harus dilihat dari isi kandungannya yang mempunyai maksud bukan hanya tersurat tetapi ada tujuan yang tersirat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Hari ini, Maszlee memaklumkan beliau telah mengarahkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik tersebut diedarkan di sekolah.
Menurutnya, KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan itu akan dikenakan tindakan tegas.
Bahkan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menasihatkan mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan agar kembali mematuhi semangat 'rule of law' dan juga 'collective responsibility'.
Sementara itu, Ahmad Zahid menegaskan beliau enggan mencampuri urusan parti lain namun sebagai kerajaan, setiap parti di dalamnya harus sama pendirian.
"Saya tak nak campur soal parti lain tetapi sepatutnya begitulah. Jika mana-mana parti yang menjadi kerajaan, harus sama pendirian dan mengetahui ‘dos and don’ts’.
"Apa yang disebut Menteri Pendidikan adalah pendapat rasmi daripada Menteri Pendidikan sendiri,” katanya.