Bekas suami 'Cleopatra' minta netizen henti fitnah, mohon maaf

Iklan
Tangkap layar penjelasan Mohd Nasir menerusi hantaran di Facebook menyatakan 'Cleopatra' adalah ibu kepada dua anak mereka, selain menggesa semua pihak berhenti menabur fitnah dan meminta maaf kepada bekas isterinya.

SHAH ALAM - Tolong hentikan fitnah dan mohon maaf kepada beliau, kata usahawan, Datuk Mohd Nasir Yaacob, 46, iaitu bekas suami kepada seorang wanita dikenali sebagai 'Cleopatra' yang menjadi perhatian umum kerana didakwa sebagai transgender dan bekerja dengan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Mohd Nasir menerusi hantaran di Facebook miliknya menggesa semua pihak yang membuat tuduhan melampau serta fitnah terhadap bekas isterinya supaya memohon maaf kerana wanita itu tidak mengganggu atau berbuat salah kepada sesiapa.

Iklan
Iklan

Menerusi satu lagi hantaran terdahulu di Facebook hari ini, Mohd Nasir turut menulis walaupun beliau bukan lagi suami kepada Cleopatra, perkara fitnah itu perlu dihentikan.

Katanya, beliau turut menerima mesej peribadi yang menggelarnya dayus kerana membiarkan isteri berpakaian atau berposing dalam Instagram kerana umum maklum wanita itu bertudung ketika menjadi isteri beliau.

Iklan

"Cinta dan jodoh kami tidak sampai ke syurga dan ALLAH menentukan segalanya. Sekarang, dia bukan isteri saya lagi dan biarlah dia dengan dunia glamournya...dia nak buka tudung atau berpakaian macam mana sekalipun, itu haknya.

"Tolong hentikan segala fitnah yang dilemparkan kepada dia kerana dia adalah wanita tulen dan ibu kandung kepada anak-anak kami. Anak kedua kami lahir di Gleneagles KL yang disambut oleh Datin Dr Suhaiza Salleh," tulisnya.

Iklan

Sebelum ini, tular satu video berdurasi seminit memaparkan seorang wanita cantik yang dipercayai menggunakan nama Instagram Cleopatra_x3 mengadakan pertemuan dan mesyuarat di pejabat Syed Saddiq di Putrajaya.

Berdasarkan Instagram wanita itu, mesyuarat tersebut dipercayai diadakan pada 15 Oktober lalu.

Dalam pada itu, menerusi hantaran di status Mohd Nasir, beliau memberitahu, gambar MyKad transgender yang tersebar dan dikaitkan dengan bekas isterinya juga tidak benar.

"Netizen dah salah orang. Dia bukan orang dalam MyKad transgender itu.

"Sebaiknya netizen doakan yang baik-baik saja bukannya mencaci atau menabur fitnah. Mohonlah kemaafan daripada beliau kerana dosa memfitnah lebih berat daripada membunuh," katanya.

Semalam, Syed Saddiq menafikan beliau melantik seorang transgender menjadi pembantu peribadi atau setiausahanya.

Syed Saddiq turut menafikan dakwaan wanita itu seorang transgender dan memaklumkan maklumat diterima menunjukkan wanita itu mempunyai dua orang anak kandung.

Sementara itu, cubaan Sinar Harian untuk mendapatkan komen wanita berkenaan atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 25, tidak berjaya kerana beliau gagal dihubungi.

ARTIKEL BERKAITAN: Cleopatra bukan PA atau setiausaha saya: Syed Saddiq