KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditahan kerana disyaki melakukan ugutan bunuh terhadap Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Temerloh, Pahang semalam.
"Tangkapan tersebut dibuat selepas polis menerima laporan yang dibuat di Jelapang, Perak.
"Suspek direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan. Kertas siasatan bagi kes itu akan dibawa ke pejabat pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Pada 15 Oktober lalu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan, Howard Lee Chuan How membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterima veteran DAP itu oleh pengguna Facebook yang menggunakan nama Hata Wahari.
ARTIKEL BERKAITAN: DAP buat laporan polis kes ugutan bunuh Kit Siang
Sementara itu dalam kes berasingan, dua pengendali akaun Facebook bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil memberi keterangan dalam masa terdekat.
Najib sebelum ini tampil memberi keterangan susulan laporan polis dibuat terhadapnya kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.