SHAH ALAM - Sektor perumahan menjadi pilihan utama netizen dalam undian mengenai cadangan, tumpuan yang harus diberikan Kerajaan Selangor menjelang Belanjawan Selangor 2020 bakal dibentangkan 1 November ini.
Menerusi keputusan undian dibuat selama dua hari di laman Twitter milik Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari itu, 53 peratus daripada pengikut akaun laman sosialnya memilih sektor perumahan.
Sektor pendidikan pula di tempat kedua dengan 26 peratus undi manakala bidang keselamatan menerima 11 peratus undi.
Dalam undian sama, bidang kesihatan pula hanya menerima 10 peratus undi.
Terdahulu, Amirudin menerusi akaun Twitternya membuka peluang kepada pengikut laman sosial itu mengundi sektor yang mahu diberikan fokus utama oleh Kerajaan Selangor menjelang Belanjawan Selangor 2020.
"Pendapat anda menjelang Belanjawan #Selangor2020 nanti, bidang manakah yang perlu kerajaan negeri beri fokus utama?.
"Saya ingin mendengar pendapat anda. Undi dan kemudian ulang kicau.Terima kasih,” tulisnya dalam status itu.
Dalam pada itu di ruangan komen netizen turut mencadangkan supaya Kerajaan Selangor memberi fokus terhadap sektor lain termasuk ekonomi, peluang pekerjaan, kemudahan awam dan menambahkan peruntukan di kawasan luar bandar.