ALOR SETAR - Kerajaan Kedah sudah mengenal pasti punca rumah mampu milik berharga kurang RM300,000 yang gagal dijual di negeri itu.
Exco Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Tan Kok Yew berkata, antara punca utama ialah ketidaksepadanan serta kelayakan untuk mendapat pinjaman.
Menurutnya, sehubungan itu Kerajaan Kedah akan memberi tumpuan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengatasi masalah tersebut melalui perbankan dan skim yang bakal diperkenalkan bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) seperti sewa beli yang berbeza strukturnya.
"Terdapat sebanyak 1735 unit (50.76 peratus) yang tidak terjual. Statistik Pusat Maklumat Hartanah Negara pula rekodkan masih terdapat lagi sejumlah 2344 unit berharga kurang RM300,000 sedang dibina dan belum terjual,” katanya ketika sesi penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
Kok Yew berkata, ini menjadikan jumlahnya 4079 unit (57.10 peratus) sedia dijual di Kedah untuk golongan B40.
"Dasar Perumahan Negeri sentiasa mengawal harga rumah mampu milik kepada RM200,000 seunit. Tak ada isu untuk mengawal harga bagi golongan yang mampu. Kita mempunyai unit yang banyak untuk ditawarkan kepada golongan B40 dan M40,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat itu lebih 90 peratus komponen pembangunan di Kedah adalah kurang daripada harga RM500,000.
"Kita juga sedang melihat kekosongan dan sewa atas sewa bagi rumah perumahan awam selain giat mengutip tunggakan sewa untuk kumpul dana membina rumah awam pada masa akan datang,” katanya.
Kok Yew berkata, kerajaan turut bercadang mengkaji kos-kos pemulihan dan pemeliharaan, penambahbaikan serta kemungkinan untuk pembangunan semula seperti Flat Paya Nahu bagi menangani isu sosial dan ekonomi.
"Kita berusaha menyediakan rumah berdaya huni, tapi rumah tak dapat dibina dalam sehari, hasilnya akan dapat dilihat sehingga 2030,” katanya.
Menurutnya, sehingga 2021 Kerajaan Kedah akan bekerjasama dengan KPKT bangunkan perumahan rakyat antaranya di daerah Kota Setar sebanyak 500 unit, Air Hitam (630), Kuala Nerang (286), Kuah (500), Ulu Melaka (500), Sinar Intan di Sungai Petani (80) serta Aman Jaya di Sungai Petani (208).