Tipu pakej umrah: Mahkamah lepas tanpa bebas konsultan wanita

Iklan

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan seorang konsultan wanita di sebuah syarikat swasta atas pertuduhan memperdayakan kenalannya menyertai pakej umrah yang tidak wujud, empat tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu pada 28 November 2018, selepas saksi pendakwaan tidak hadir pada perbicaraan kes Wan Norazizulbaitie Wan Zulkifli dan memerintahkan agar wang jaminan RM6,000 dikembalikan kepada tertuduh.

Iklan
Iklan

Pada 16 November 2017, Wan Norazizulbaitie yang diwakili peguam Nur Rafi'uddin Maswari dan Arham Rahimy Hariri, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdayakan kenalannya menyertai pakej umrah yang tidak wujud, pada 2015.

Dia didakwa telah menipu Badariah Hashim, 57, dengan memperdayakan mangsa dengan tawaran pakej Umrah Fa’aliyah yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM19,250 kepada tertuduh untuk menyertai pakej umrah tersebut.

Iklan

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Taman Seri Keramat Tengah, di sini pada 8.30 malam, 9 Nov 2015 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim. Seramai lima saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan. - Bernama

Iklan