RANTAU PANJANG - Barangan tiruan berjenama terkenal dunia yang dianggarkan bernilai RM140,000 dirampas dalam Ops Barang Tiruan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang dekat sini hari ini.
Rampasan itu dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan dengan kerjasama anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, rampasan itu dilakukan berpandukan kepada aduan yang dibuat berhubung barangan tiruan tersebut.
"Hasil laporan yang diterima, kita telah jalankan pemeriksaan ke atas empat buah premis di kawasan berkenaan.
"Peniaga di empat premis itu didapati bersalah di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.
Menurutnya, kesemua barangan rampasan pelbagai saiz dan jenama itu dibawa ke stor KPDNHEP Kelantan untuk tindakan lanjut.
Katanya, KPDNHEP Kelantan akan terus melipat gandakan operasi dalam membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.
Dalam pada itu, Adnan turut mengingatkan peniaga supaya tidak menjalankan urusniaga barangan tiruan.
"Perbuatan itu jelas bercanggah dengan peraturan negara," katanya.