SUBANG JAYA - Seorang lelaki warga emas cedera diserang sekumpulan penjenayah bersenjatakan parang yang turut menyamunnya di Jalan USJ4/5 pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, ketika kejadian mangsa berusia 72 tahun itu dan isterinya menunggu Grab di hentian bas untuk ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) USJ 7.
Menurutnya, tiga suspek menaiki sebuah Proton Wira itu menyerang mangsa menyebabkannya cedera di tangan dan belakang badan akibat dikelar.
"Mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM500 selain telefon bimbit, kad bank dan dokumen pengenalan diri dilarikan suspek.
"Akibat kecederaan itu, mangsa masih mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.
Risikin berkata, tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut dan tiada saksi dalam kejadian itu.
Menurutnya, polis giat mengesan suspek yang masih bebas dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
"Kami tingkatkan rondaan pencegahan jenayah antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi di sekitar daerah Subang Jaya dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), polis peronda (MPV) dan Team Khas telah digandakan sejak hampir dua minggu lalu," katanya.
Terdahulu isteri mangsa yang berusia 64 tahun menceritakan insiden menerusi mesej yang tular di aplikasi WhatsApp.
Katanya, dia dan suami disamun sekitar jam 6 pagi.
Menurutnya dia berani keluar awal ke stesen LRT berikutan hentian bas berkenaan terletak berhampiran sebuah pos pengawal.
"Kami tiba-tiba didatangi dua lelaki bersenjatakan parang, seorang merampas beg tangan saya manakala seorang lagi mengelar suami dengan parang.
"Kejadian berlaku tiba-tiba. Kami tak sempat lihat nombor pendaftaran kereta terbabit. Kami ada minta tolong namun tiada sesiapa yang datang,” katanya.
Menurutnya, suaminya perlu menjalani pembedahan di tangan kerana luka akibat dikelar agak dalam.
Katanya, dia turut membuat laporan polis berhubung insiden tersebut.
Dalam pada itu Risikin menggesa penduduk Subang Jaya yang ingin meninggalkan kediaman atau premis masing-masing sempena cuti perayaan memaklumkan kepada pihak polis sama ada memaklumkan Balai Polis berhampiran ataupun menggunakan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).