KUALA KEDAH - Jabatan Perikanan Kedah menyita 153 unit bubu naga bernilai RM12,240, lima unit pukat pari (RM10,000), ikan baja (RM100) dan dua vesel tunda zon B yang bernilai lebih RM1.3 Juta dalam operasi, kawalan dan pemantauan (Program MCS) pada 31 Disember lalu di Kuala Sanglang, Sungai Baru, Jerlun, di sini.
Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Abdul Halim Marzuki berkata, operasi dilakukan bertindak atas aduan nelayan setempat dan risikan bagi melindungi sumber perikanan negara dari aktiviti yang melanggar Akta Perikanan 1985.
Menurutnya, dua vesel tunda zon B tersebut telah melakukan kesalahan buat kali kedua selepas masing-masing melakukan kesalahan pertama pada Januari dan Jun pada 2018.
"Pemilik bagi kedua-dua vesel tersebut berusia 58 dan 68 tahun tersebut bersama krew masing-masing berjaya ditangkap dan lesen mereka turut dirampas. Bot mereka juga disita sehingga mereka membayar kompaun.
"Ini adalah kesalahan kedua yang telah dilakukan oleh mereka kerana menunda di luar kawasan zon yang ditetapkan dan jika ditangkap bagi kesalahan ketiga seterusnya mereka boleh dihadapkan terus ke mahkamah untuk tindakan susulan," katanya pada sidang media penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 di Pangkalan Perlindungan Sumber Perikanan Kuala Kedah, dekat sini.
Abdul Halim berkata, kedua-dua pemilik vesel dikenakan kompaun hampir RM2,000 setiap seorang atas kesalahan yang telah dilakukan.
Menurutnya, pihanya tidak akan bertolak ansur dan bertindak tegas terhadap sebarang aktiviti yang bertentangan undang-undang perikanan dengan membuat tangkapan, mengkompaun atau mendakwa di mahkamah.
"Kami akan mempertingkatkan operasi pemantauan, kawalan dan pengawasan supaya perairan perikanan negara bebas daripada aktiviti menangkap ikan yang bertentangan dengan undang-undang persekutuan dan negeri termasuk pematuhan kepada instrumen-instrumen antarabangsa," katanya.
Sementara itu, Abd Halim berkata, bagi penggunaan bubu naga juga mampu mengancam semua spesis anak-anak ikan dan percaya kemungkinan besar sasaran mereka adalah untuk menangkap undang dan ikan-ikan yang komersial.
"Bagi bubu naga, kami merampas peralatan yang ditinggalkan oleh nelayan-nelayan kerana sewaktu kami ke lokasi mereka tidak ada. Jika mereka ada di lokasi mereka juga akan ditangkap.
"Pukat pari pula kesalahannya adalah saiz matanya adalah melebihi 10 inci dan mengancam penyu serta ikan lumba-lumba," katanya lagi.
Jelas Abdul Halim, Jabatan Perikanan Kedah akan terus memperkasakan Program MCS bagi menjamin sumber perikanan yang mampan agar sumber ini kekal menjadi bekalan protein makanan utama penduduk negara pada masa sekarang dan untuk generasi akan datang.