Ramaikan nelayan laut dalam

Iklan

SHAH ALAM - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta persatuan nelayan di seluruh negara supaya memperbanyakkan aktiviti penglibatan golongan muda dalam persatuan mereka bagi menarik minat belia bekerja sebagai nelayan laut dalam.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, usaha itu untuk mengatasi jumlah kemerosotan nelayan laut dalam atau bagi zon C2 dan C sekali gus bagi mengekang pencerobohan hasil laut negara oleh pihak tidak bertanggungjawab terutama nelayan warga asing di laut dalam.

Iklan
Iklan

"Kemerosotan jumlah nelayan yang berlaku sekarang ini sudah pasti menjejaskan pendaratan ikan laut pada masa depan.

"Setakat ini jumlah nelayan turun ke laut yang mendaftar dengan LKIM seramai hampir 60,000 orang. Bagaimanapun kita mahu penglibatan lebih ramai belia sebagai nelayan terutama di laut dalam bagi kelangsungan bekalan ikan di negara ini sekali gus peluang pekerjaan kepada belia.

Iklan

"Lagipun aktiviti menangkap ikan laut dalam biasanya memerlukan tempoh masa agak lama dan pastinya ketahanan fizikal golongan muda diperlukan dalam situasi itu berbanding nelayan lebih berusia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Muhammad Faiz mengulas laporan Sinar Siasat semalam yang mendedahkan pemilik bot tempatan terpaksa menggunakan khidmat nelayan warga asing akibat kekurangan pekerja tempatan.

Iklan

Menurut Muhammad Faiz, oleh sebab itu kerajaan termasuk LKIM sedang giat merancakkan pelbagai usaha bagi menarik golongan muda menceburi industri perikanan laut dalam menerusi latihan serta penyediaan teknologi menangkap ikan laut dalam termasuk aspek penambahan jumlah lesen perikanan serta bot bersesuaian bagi kategori C dan C2.

"Jadi persatuan nelayan perlu ambil peluang ini untuk menarik golongan belia lebih ramai menjadi nelayan laut dalam kerana ia memang memberikan pulangan lumayan sebagai sumber pendapatan. Kita akan cuba bantu dari segi pemberian lesen dan bot nanti,' katanya.

Tegas Muhammad Faiz lagi, itu adalah langkah kerajaan dari segi permasalahan tenaga kerja tetapi dalam kesibukan kerajaan mencari jalan bagi menarik minat golongan muda menjadi nelayan laut dalam untuk menambah jumlah nelayan sedia ada, nelayan asing pula terlebih dahulu mengambil kesempatan merompak hasil perikanan di perairan negara hingga membawa kerugian berbilion ringgit.

Dalam pada itu beliau tidak menafikan kuantiti pendaratan ikan setakat bulan lalu merosot iaitu 588.5 ribu tan metrik berbanding 914.6 ribu tan metrik tahun lepas.

"Bila nelayan kita tidak pergi ke laut dalam, warga asing ambil kesempatan. Ini yang kita tidak mahu (nelayan asing).

"Saya tegaskan sekali lagi, jika jumlah nelayan berkurangan dan warga asing pula mengambil kesempatan mengaut sumber laut negara, rentetannya pendaratan ikan akan terus berkurangan sekali gus menjejaskan bekalan ikan untuk rakyat Malaysia.

"Buat masa ini kerajaan melancarkan Ops Naga untuk mengatasi ketirisan sumber laut kita akibat pencerobohan. Tetapi pada masa sama, nelayan kita sendiri kena bantu. Nelayan tempatan jangan mudah beri alasan itu tak ada ini tak ada termasuk soal menggaji nelayan asing di perairan kita. Pelbagai usaha sudah dilakukan untuk membantu nelayan. Apa yang penting, minda nelayan kena berubah dan rebutlah peluang disediakan kerajaan," katanya.