SATU video tular di media sosial di mana seorang rider penghantar makanan terlibat dalam satu kemalangan langgar lari oleh sebuah kenderaan jenama H.
Berdasarkan video tersebut, kereta berwarna putih tersebut melanggar dan merempuh motosikal itu dari belakang ketika penunggang itu sedang bertugas menghantar makanan.
Kereta yang terlibat dalam kemalangan itu terus memecut kenderaannya dan membiarkan mangsa ‘tergolek’ di atas jalan bersendirian.
Sebelum itu, Merak Jalanan terbaca dalam sebuah grup Facebook warga Shah Alam mengenai seorang remaja penghantar makanan maut selepas terbabit dalam kemalangan di Seksyen 20, Shah Alam.
Rupa-rupanya itu bukan kejadian yang pertama. Sebulan sebelum itu turut berlaku kejadian meragut nyawa di lokasi yang sama membabitkan rider syarikat penghantar makanan yang sama.
Kerjaya penghantar makanan semakin menjadi ‘trend’ terutama dalam kalangan belia tetapi Merak Jalanan harap mereka ini lebih berhati-hati di atas jalan raya. Tidak salah mengejar pendapatan lebih tetapi soal keselamatan diri perlu menjadi keutamaan.
Lagi pun kita tidak mahu terlalu mementingkan budaya ‘mahu cepat’ ketika di jalan raya sehingga mengabaikan keselamatan bukan saja penunggang terbabit malah pengguna jalan raya lain.
Lihat saja gelagat penghantar makanan yang ada hari ini. Ada dalam kalangan mereka yang sanggup mengetepikan keselamatan diri dan juga pengguna lain ketika berada di jalan raya. Ada yang membawa motosikal dengan laju, langgar lampu isyarat dan sebagainya.
Pada masa sama, syarikat penghantar makanan ini juga perlu memastikan semua rider yang menghantar makanan ini mempunyai lesen, cukai jalan kenderaan dan insurans yang sah.
Merak Jalanan tidak mahu mereka berhadapan risiko ‘mati katak’ kerana tidak dilindungi insurans. Mencari rezeki yang halal adalah tugas yang mulia tetapi keselamatan diri perlu diutamakan.