KEMPEN BMF (Buy Muslim First) mungkin berjaya untuk sesetengah barangan sehingga dikatakan menjejaskan jualan beberapa rangkaian perniagaan bukan Islam.
Seperti dilaporkan. orang Melayu mengutamakan produk harian keluaran Islam seperti kicap, sos cili, sos tomato, belacan, mi, roti dan sebagainya. Akibatnya ada pasar dan kedai bukan Melayu tidak laku.
Tetapi semangat BMF bukan untuk semua barangan dan pasti sekali tidak untuk produk IT seperti yang terbukti dalam kes Mara Digital.
Baru sangat lagi, pada 2015, Mara Digital ditubuhkan sebagai sebuah pusat IT khas untuk kaum bumiputera dan bagi menyaingi perniagaan IT milik bukan Melayu.
Idea penubuhannya yang tergesa-gesa adalah ekoran pergaduhan kumpulan Melayu dan Cina di pusat IT di Plaza Low Yat gara-gara kecurian sebuah telefon bimbit.
Menteri Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Mara Digital Mall di Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (KL).
Itulah pusat jualan produk digital Melayu berskala besar pertama di negara ini dan diuar-uarkan sebagai pesaing untuk memecah monopoli perniagaan IT oleh bukan Melayu.
Orang Melayu bertepuk tangan, berharap benar penguasaan perniagaan IT oleh bukan Melayu dapat dipecahkan. Mujur ketika itu tidak ada yang berkata:"Maruah Melayu dalam IT perlu ditegakkan!”
Bersemangat dan berkobar-kobar menteri itu menegaskan:"Kita akan membuka Mara Digital di seluruh negara dan bersaing dengan pusat IT bangsa lain.”
Belum sempat dibuka ke seluruh negara, tetapi sudah ada empat pusat seumpamanya di Kuantan, Johor Bahru, Shah Alam dan Menara Mara di KL.
Empat yang ada itu pun tidak betul-betul memberi saingan terhadap pusat-pusat IT bukan Melayu di seluruh negara, khasnya di KL.
Jangankan memberi saingan, sedikit pun tidak menggugat perniagaan IT bangsa lain. Digital Mall Mara hanya gah pada nama dan publisiti, tetapi kesan jualannya tidak ke mana.
Malah, ada berita yang lebih menyedihkan daripada empat yang ada kini hanya satu yang masih beroperasi iaitu di Menara Mara KL.
Tiga pusat IT Melayu iaitu di Kuantan, Johor Bahru dn Shah Alam telah ditutup. Belum sempat bersaing dengan bukan Melayu, semuanya sudah bungkus.
Ketika pelancarannya gah seantero dunia macam hendak menggugat sangat perniagaan IT bukan Melayu. Tetapi gah hanya waktu pelancaran, belum dua tahun beroperasi semua sudah mati.
Tinggal satu yang masih hidup di Menara Mara KL. Itu pun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan, hanya menunggu masa untuk ditalkinkan.
Menurut satu tinjauan, pilihan produk yang terhad dan kekurangan promosi menyebabkan perniagaan di Mara Digital Mall tidak berdaya maju sehingga memaksa peniaga menghentikan operasi.
Ada yang tidak berpuas hati dengan pembekal tunggal yang didakwa menindas peniaga dan gagal membekalkan produk yang mencukupi.
Pada awal kewujudan Mara Digital di tingkat tiga bangunan tersebut, banyak promosi dilakukan termasuk pameran di tingkat bawah ruang legar Busana@Menara Mara.
Mara telah menyediakan ruang berniaga, sepatutnya peniagalah yang membuat promosi jualan, jangan semua harapkan Mara!
Oleh sebab tiada promosi, juga kerana produk terhad, Mara Digital tidak mendapat sambutan pelanggan. Anehnya jualan produk IT kepunyaan bukan Melayu di Pertama Kompleks bersebelahan Menara Mara meriah seperti sedia kala.
Mungkin ada benarnya kekurangan produk menjadikan pelanggan, termasuk Melayu lebih suka ke Pertama Kompleks untuk mendapatkan barangan IT.
Mara boleh menyiasat rungutan peniaga, apakah benar pembekal tunggal yang dilantik tidak dapat membekalkan apa yang dikehendaki oleh peniaga?
Atau mungkin ada masalah lain antara peniaga dengan pembekal tunggal berkenaan. Selesaikan masalah tersebut agar pusat IT yang masih wujud di Menara Mara itu tidak berkubur sama.
Dalam hal sos tomato dan belacan, sentimen Melayu kuat untuk menyokong BMF. Ternyata berniaga produk IT cabarannya jauh lebih besar daripada menjual belacan.
Maaf cakap, saya tidak kata orang Melayu hanya layak menjual belacan. Tetapi kita perlu belajar banyak benda, bekerja lebih kuat untuk berjaya menjual produk IT.
Kalau semua hendak harapkan Mara, kita tidak akan dapat mengalahkan pusat IT di Plaza Low Yat, atau mana-mana kedai IT bukan Melayu. Bangkitlah!